KUALA LUMPUR 22 Ogos - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal
Abidin hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada empat ketua
perwakilan Malaysia ke luar negara, di Istana Negara di sini.
Empat duta itu adalah Professor Madya Syed Omar Syed Mohamad
Al-Saggaf (Arab Saudi), Datuk Zulkifli Yaacob (Argentina), Datuk Syed
Sultan Mohd Idris (Bahrain) dan Raja Nazrin Raja Aznam (Ireland).
Istiadat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Datuk Abdul Rahim
Bakri dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Othman
Hashim.
Sebelum pelantikan ini, Syed Omar, 64, merupakan Rektor Kolej Islam
Teknologi Antarabangsa, Pulau Pinang manakala Syed Sultan, 52, adalah
bekas duta besar negara di Finland.
Zulkifli, 52, pula bekas duta besar di Libya manakala Raja Nazrin,
52, sebelum ini Setiausaha Bahagian Adjudikasi dan Timbangtara di
Kementerian Luar. |