Back

SIARAN AKHBAR:GEMPA BUMI DI LOMBOK UTARA, NUSA TENGGARA BARAT, INDONESIA 5 OGOS 2018

GEMPA BUMI DI LOMBOK UTARA, NUSA TENGGARA BARAT, INDONESIA

5 OGOS 2018 

 

Gempa bumi dengan kekuatan 6.8 pada skala Richter dilaporkan telah melanda beberapa kawasan di Lombok Utara, Daerah Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada hari Ahad, 5 Ogos 2018 jam 6.46 petang (waktu tempatan). Impak gegaran turut dirasai masyarakat di sekitar daerah Bali. Setakat ini, pihak berkuasa tempatan masih lagi menilai kerosakan yang berlaku serta keadaan penduduk di kawasan yang terjejas.

 

Satu amaran tsunami telah dikeluarkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia. Warganegara Malaysia yang berada di Kepulauan Lombok diminta untuk menghindari kawasan-kawasan persisiran pantai sehingga arahan berikutnya daripada pihak berkuasa Indonesia.

 

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta kini sedang menyelaras tindakan bersama Polis Republik Indonesia (Polri) dan Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) untuk mengenalpasti sekiranya terdapat warganegara Malaysia yang terbabit dalam bencana tersebut. Pihak Kedutaan Besar juga sedang menghubungi warganegara Malaysia yang mendaftar sejak kejadian gempa pertama pada 29 Julai 2018 yang lalu untuk memastikan keberadaan dan keselamatan mereka.

 

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengaktifkan Bilik Operasi dan rakyat Malaysia yang berada di Lombok yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan Besar menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my/ jkonsular@gmail.com atau nombor telefon  +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp).

 

 

PUTRAJAYA

 

5 Ogos 2018