Back

SIARAN AKHBAR : GEMPA BUMI DI SULAWESI TENGAH, INDONESIA

GEMPA BUMI DI SULAWESI TENGAH, INDONESIA

 

Gempa bumi dengan kekuatan 7.7 skala Richter dilaporkan telah melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada hari Jumaat, 28 September 2018 jam 5.02 p.m. (waktu tempatan). Setakat ini, pihak berkuasa tempatan telah mengesahkan hanya seorang telah meninggal dunia manakala 10 orang cedera. Gempa tersebut turut mengakibatkan keruntuhan dan kerosakan rumah dan bangunan.

 

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besarnya di Jakarta dan Konsul Kehormat di Makassar telah berhubung dengan para pelajar Malaysia yang berada sekitar Makassar, Indonesia bagi memastikan keselamatan mereka.

 

Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa ini. Rakyat Malaysia juga diminta supaya sentiasa tenang dan terus mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini berikutan masih terdapat beberapa gempa susulan.

 

Rakyat Malaysia yang berada di sekitar Sulawesi Tengah yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my/ jkonsular@gmail.com atau nombor telefon +62 813 8081 3036 - Pegawai Bertugas.  

 

 

PUTRAJAYA

28 September 2018