Back

SIARAN AKHBAR : GEMPA BUMI MELANDA LOMBOK TIMUR, INDONESIA

GEMPA BUMI MELANDA LOMBOK TIMUR, INDONESIA

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menerima laporan bahawa seorang warganegara Malaysia telah terkorban manakala enam warganegara Malaysia yang lain belum dapat dikesan dalam insiden gempa bumi berskala 5.8 Richter yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada jam 2.07 petang (waktu tempatan) hari ini. Mendiang dan keenam-enam orang warganegara Malaysia dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara semasa gempa bumi melanda. 

Gegaran akibat gempa bumi tersebut turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali. Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan. Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden ini. 

Kementerian melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden gempa bumi ini dan menyarankan supaya semua warganegara Malaysia yang terjejas untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian berikut:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI JAKARTA, INDONESIA

Alamat :          Jl. H.R. Rasuna Said

Kav.X/6, No. 1-3

Kuningan, 12950

Jakarta Selatan

Telefon:         +(6221) 522 4947 / +62 813 8081 3036 

03-8887 4570 (Wisma Putra)

E-mel:             mwjakarta@kln.gov.my

Kementerian Luar Negeri juga ingin menasihatkan supaya warganegara Malaysia melaporkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan. 

PUTRAJAYA

17 Mac 2019