Back

SIARAN AKHBAR : ISU PERJANJIAN AIR SUNGAI JOHOR 1962 DENGAN SINGAPURA

ISU PERJANJIAN AIR SUNGAI JOHOR 1962 DENGAN SINGAPURA
 

  1. Kenyataan ini dikeluarkan sebagai lanjutan daripada menjawab soalan lisan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Santubong, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat pada hari ini.

 

  1. Proses perundingan tentang semakan harga air di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962 (“Perjanjian 1962”) yang tertangguh sejak sekian lama telah dimulakan kembali di bawah Pentadbiran Pakatan Harapan semasa lawatan rasmi Menteri Luar Negeri Malaysia ke Singapura pada 30-31 Julai 2018. Dalam lawatan tersebut, saya telah menimbulkan perkara ini kepada Menteri Luar Negeri dan Perdana Menteri Singapura. Tetapi kedua-duanya berpendirian bahawa perjanjian tersebut tidak perlu dikaji semula.

 

  1. Dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Singapura pada 12 November 2018, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mendapatkan persetujuan daripada Perdana Menteri Singapura untuk memulakan perundingan tentang perjanjian tersebut. Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju agar Peguam Negara Malaysia dan Singapura mengadakan perundingan berkenaan.

 

  1. Seterusnya, Peguam Negara Malaysia dan Singapura telah mengadakan perundingan pertamanya di mana kedua-dua pihak bersetuju bahawa perjanjian tersebut wajar dikaji semula.

 

  1. Selanjutnya, kini kedua-dua pihak seharusnya memasuki fasa kedua perundingan, iaitu membincangkan modaliti untuk menentukan harga air yang baharu. 

 

  1. Malangnya, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Singapura di Sidang Parlimen Singapura pada 1 Mac 2019 tidak menggambarkan persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua negara sebelum ini. Malah, beliau mengkritik dan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap Malaysia. Antara tuduhan-tuduhan yang dibuat termasuklah:

 

6.1 Malaysia tidak menghormati Perjanjian 1962 dan Malaysia telah kehilangan hak untuk menyemak semula harga air mentah setelah tidak berbuat  sedemikian pada tahun 1987.

Malaysia sentiasa menghormati dan tidak pernah melanggar terma-terma dalam Perjanjian 1962. Kerajaan Malaysia sekadar menyatakan yang ia mempunyai hak untuk semakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura, selepas 25 tahun Perjanjian 1962 berkuat kuasa.

Hak Malaysia tidak boleh dipertikaikan. Klausa 14 Perjanjian itu jelas memperuntukkan bahawa ia boleh dikaji semula pada hari ini, dan tidak hanya pada tahun 1987, kerana klausa itu menyatakan “...shall be subject to review after the expiry of 25 years from the date of these presents...”. Perkata “after” di dalam klausa ini bermakna “selepas” dan bukannya “semasa”.

6.2 Singapura menyatakan bahawa berdasarkan prinsip ‘goodwill’, mereka telah menjual air terawat lebih daripada kelayakan Malaysia di bawah  Perjanjian tersebut berjumlah 16 juta gelen sehari pada harga 50 sen bagi setiap 1000 gelen yang merupakan satu subsidi merugikan Kerajaan    Singapura.

Sebenarnya, pihak Malaysia yang selama ini memberikan subsidi kepada Singapura dengan menjual air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari dengan kadar hanya 3 sen (SGD 1 sen)  sahaja bagi setiap 1000 gelen. Subsidi yang telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada Singapura sejak tahun 1962 mencecah berbilion ringgit. Ini tidak termasuk bekalan air mentah percuma yang diberikan kepada Singapura dari tahun 1927 hingga 1961. 

6.3 Singapura menyatakan pihaknya membuat pelaburan yang tinggi di Johor bagi pembinaan dan operasi Empangan Linggiu dan ini memberi          manfaat kepada Negeri Johor.

Tujuan utama Empangan Linggiu ini dibina oleh Singapura ialah bagi memastikan kepentingannya untuk mengabstrak 250 juta gelen sehari air mentah dari Sungai Johor di bawah Perjanjian 1962 dilindungi. Jumlah pelaburan ini adalah amat kecil jika dibandingkan dengan keuntungan yang dikaut oleh Singapura melalui pembelian air mentah dengan kadar yang amat murah. Malah Singapura juga mendapat manfaat langsung daripada pelaburan Malaysia seperti pembinaan baraj Sungai Johor yang mencecah jutaan ringgit. Ini tidak termasuk kos-kos lain yang ditanggung oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan bekalan air yang mencukupi di Sungai Johor.

6.4 Menteri Luar Singapura telah membuat kenyataan yang memberikan gambaran negatif terhadap pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Kenyataan negatif dan tidak berasas ini tidak menggambarkan Singapura sebagai jiran yang baik dan tidak mencerminkan komitmen Singapura untuk memelihara jalinan hubungan dua hala antara kedua-kedua negara berdasarkan prinsip saling menghormati dan kesaksamaan. Malaysia sekadar menuntut haknya yang sah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian 1962.

 

  1. Kerajaan Malaysia sentiasa berpegang teguh dengan prinsip jalinan persahabatan yang baik dengan semua negara, termasuk Singapura. Walaupun dikritik dengan cara yang tidak adil, Malaysia akan tetap mencari penyelesaian bersama terhadap isu ini melalui perbincangan dan proses rundingan.

 

  1. Walau bagaimanapun, sekiranya Singapura tetap enggan menyelesaikan isu melalui rundingan, Malaysia bersedia untuk membawa perkara ini ke proses timbang tara yang juga diperuntukkan dalam Perjanjian 1962.

 

  1. Kerajaan Malaysia tidak akan mengalah dan akan terus menuntut haknya di bawah Perjanjian Air 1962 dan mencari penyelesaian yang adil untuk rakyat Malaysia.

 

PUTRAJAYA

12 Mac 2019