Back

SIARAN AKHBAR : KEJADIAN PESAWAT LION AIR JT-610 TERHEMPAS

KEJADIAN PESAWAT LION AIR JT-610 TERHEMPAS

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada Kerajaan Indonesia, pesawat Lion Air JT-610 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada jam 6.20 pagi waktu Indonesia Barat (WIB), telah terhempas di perairan Karawang, utara Pulau Jawa selepas 15 minit berlepas.

 

Pesawat jenis Boeing 737-800 tersebut membawa seramai 188 orang penumpang termasuk seorang kanak-kanak, dua (2) orang bayi serta tujuh (7) orang krew, dalam penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang, Kepulauan Bangka Belitung. Usaha mencari dan menyelamat masih giat dilaksanakan oleh pasukan Search and Rescue – SAR Indonesia di lokasi kejadian.

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan butiran terperinci mangsa yang terlibat. Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat di dalam kejadian ini. Pihak Kedutaan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan terkini.

 

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut mengenai kejadian ini boleh menghubungi pihak Kedutaan menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my/jkonsular@gmail.com atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp).

 

 

PUTRAJAYA

29 Oktober 2018