Back

SIARAN AKHBAR : KENYATAAN MENTERI LUAR NEGERI BERKENAAN PENAHANAN 47 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA DI KEMBOJA

KENYATAAN MENTERI LUAR NEGERI

BERKENAAN

PENAHANAN 47 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA DI KEMBOJA

 

Saya telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga merupakan Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa pada hari ini untuk menzahirkan hasrat Malaysia agar kesemua 47 warganegara Malaysia yang kini ditahan di Banteay Meanchey dibebaskan dengan segera.

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan Kerajaan Malaysia ke atas kerjasama yang telah diberikan oleh Kerajaan Kemboja terutamanya dalam membenarkan beberapa lawatan konsular daripada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh ke atas tahanan-tahanan tersebut. Saya secara peribadi telah menyampaikan rasa terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja atas keperihatinan beliau dalam perkara ini. Saya juga memohon supaya pihak Kemboja dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia tersebut terpelihara.

 

Saya telah menekankan bahawa Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang Kemboja dan Kerajaan Malaysia sentiasa mengingatkan rakyatnya supaya mematuhi undang-undang tempatan di mana jua mereka berada. Dalam hal ini, Malaysia telah memohon supaya pertimbangan ke atas perkara ini dapat dipercepatkan agar mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan kadar segera.  

 

Dua orang pegawai kanan Kementerian Luar Negeri yang terdiri daripada Setiausaha Bahagian Konsular dan Ketua Bahagian Undang-Undang Kementerian Luar Negeri telah bertolak ke Banteay Meanchey pada hari ini, untuk meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Kemboja berhubung penahanan warganegara Malaysia.

 

Dalam pada itu, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Encik Ruzaimi Mohamad telah berada di Banteay Meanchey sejak 12 Februari 2019 untuk memberikan bantuan konsular berterusan kepada warga negara Malaysia yang ditahan. Lawatan konsular ini merupakan susulan kepada bantuan konsular yang diberikan oleh pegawai Kedutaan Besar pada 22 Januari 2019.

 

Kedutaan Besar Malaysia juga telah memudahcara lawatan Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien bersama beberapa ahli keluarga tahanan untuk membuat lawatan ke Penjara Banteay Manchey pada hari ini. Atas inisiatif Kedutaan, seorang doktor daripada badan bukan Kerajaan, Hospital Beyond Boundaries, juga telah turut serta dalam lawatan ini untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada di tahap yang baik.

 

Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dengan rapi dan akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam usaha mengembalikan mereka ke pangkuan keluarga di Malaysia.

 

 

PUTRAJAYA

13 Februari 2019