Back

SIARAN AKHBAR : KENYATAAN MENYOKONG PENDIRIAN YAB PERDANA MENTERI TENTANG STATUT ROME MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA (INTERNATIONAL CRIMINAL COURT - ICC) 5 APRIL 2019

KENYATAAN MENYOKONG PENDIRIAN YAB PERDANA MENTERI TENTANG

STATUT ROME MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA

(INTERNATIONAL CRIMINAL COURT - ICC)

5 APRIL 2019

 

Saya menyokong sepenuhnya pendirian YAB Perdana Menteri dalam kenyataan beliau semasa sidang media petang tadi.

 

Isu Statut Rome - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini melibatkan dua perkara iaitu perundangan dan proses Jemaah Menteri membuat keputusan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

 

Dari segi perundangan, Jemaah Menteri berpendirian bahawa menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah keputusan yang tepat kerana ia mengukuhkan iltizam Malaysia dalam menegakkan keadilan di persada antarabangsa serta manfaatnya kepada negara.

 

Kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terpelihara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Dari segi proses membuat keputusan, Jemaah Menteri telah membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Jemaah Menteri dalam menandatangani perjanjian antarabangsa. Oleh itu, dari segi proses membuat keputusan, Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengikut prosedur yang betul dan proses meratifikasi Statut Rome tidak perlu dibuat melalui Parlimen.

 

Sejak dahulu lagi, terdapat lebih seratus triti dan konvensyen antarabangsa yang diratifikasi tanpa melalui proses Parlimen.

 

Perkara ini tidak perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja kerana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang ditentukan oleh Perlembagaan untuk dirujuk dan tiada pindaan Perlembagaan diperlukan.

 

Malangnya, ada pihak yang sengaja menyalah tafsir Statut Rome, termasuk soal merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dengan memberikan nasihat atau pendapat yang tidak tepat dan mengetepikan fakta dan hujah yang rasional.

 

Pihak ini juga dengan sengaja memainkan emosi dengan menakut-nakutkan orang ramai sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham demi mencapai matlamat politik dengan niat untuk menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan dan YAB Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang dipilih melalui proses demokrasi.

 

Pentadbiran Pakatan Harapan akan terus berpegang teguh kepada prinsip Raja Berpelembagaan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

 

 

Dato’ Saifuddin Abdullah

5 April 2019

Putrajaya