Back

SIARAN AKHBAR : KEPULANGAN 16 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA YANG DITAHAN DI PALEMBANG

KEPULANGAN 16 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA YANG DITAHAN DI PALEMBANG

                                                                                                                                                          

Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa 16 orang warganegara Malaysia termasuk Leong Kong Yan @ Chris Leong yang ditahan sejak 9 Januari 2019 di Palembang, Indonesia atas kesalahan penyalahgunaan visa telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia dan telah pulang ke tanah air pada hari Ahad, 10 Mac 2019.

 

Kumpulan ini pulang ke tanah tanah air dengan dua penerbangan berasingan. Kumpulan pertama seramai 12 orang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Ahad, 10 Mac 2019 jam 5.10 petang dengan penerbangan Garuda Airlines GA 816. Manakala kumpulan kedua, seramai empat orang tiba pada hari yang sama jam 6.50 petang dengan penerbangan Malaysia Airlines MH 720.

 

Ini adalah kejayaan ketiga Kerajaan setelah pembebasan 47 rakyat Malaysia daripada tahanan di Kemboja dan lapan rakyat Malaysia yang dibawa pulang daripada Liberia baru-baru ini. Pembebasan ini adalah lanjutan usaha Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah yang berhubung dan mengutus surat kepada rakan sejawat beliau, Ibu Retno L.P. Marsudi bagi memohon bantuan dan kerjasama Kerajaan Indonesia untuk mempercepatkan proses perundangan bagi mereka yang terlibat.

 

Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Medan juga telah melakukan beberapa siri lawatan konsular bagi memastikan kebajikan para tahanan sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, pihak Konsulat Jeneral turut terlibat dalam perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan proses perundangan berjalan secepat mungkin.

 

 

Kerajaan merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia di atas bantuan dan kerjasama baik yang diberikan dalam memastikan kebajikan para tahanan sentiasa terpelihara sepanjang tempoh tahanan, selain membebaskan dan menguruskan penghantaran pulang para tahanan ke Malaysia dengan selamat.

 

Kementerian Luar Negeri prihatin dan berusaha untuk memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara sentiasa terpelihara. Namun, Kementerian sentiasa mengingatkan rakyat Malaysia untuk menghormati dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang diguna pakai oleh negara yang dilawati. Ini termasuklah mendapatkan visa yang bersesuaian selaras dengan tujuan perjalanan.

 

 

PUTRAJAYA

 

10 Mac 2019