Back

SIARAN AKHBAR : PENAHANAN 16 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA DI PALEMBANG, INDONESIA

PENAHANAN 16 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA

DI PALEMBANG, INDONESIA

 

 

Kementerian Luar Negeri mengesahkan penangkapan seramai 16 orang warganegara Malaysia pada 9 Januari 2019 di Palembang, Sumatera Selatan oleh pihak berkuasa Indonesia di atas dakwaan menyalahguna visa sosial ke Republik Indonesia.

 

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan telah mengadakan lawatan konsular sebanyak tiga (3) kali iaitu pada 16 dan 21 Januari serta 14 Februari 2019 bertujuan memastikan aspek-aspek kebajikan, keperluan asas dan kemudahan perubatan kepada para tahanan sentiasa terpelihara.

 

Berikutan itu, Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawat beliau, iaitu Ibu Retno L.P. Marsudi pada 18 Februari 2019 meminta kerjasama Kerajaan Indonesia untuk memberi perhatian kepada isu-isu kebajikan dan kesihatan para tahanan serta mempercepatkan proses perundangan bagi mereka yang terbabit.

 

Sehubungan itu, Konsul Jeneral Malaysia di Medan akan mengadakan satu lagi lawatan konsular dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Pendakwaraya dan Pengadilan Palembang bagi memudah dan mempercepatkan proses perundangan.

 

 

 

Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga Malaysia yang ditahan di luar negara sentiasa diberi keutamaan. Rakyat Malaysia adalah  diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen negara yang akan mereka lawati dengan memohon visa yang bersesuaian dengan tujuan lawatan.

 

Kerajaan Malaysia sentiasa menghormati perundangan Republik Indonesia dan tidak akan campur tangan di dalam urusan perundangan tersebut dan menghargai segala kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Republik Indonesia di dalam memudahkan urusan konsular kepada semua tahanan.

 

PUTRAJAYA

22 FEBRUARI 2019