Back

SIARAN AKHBAR : PENERBANGAN PULANG MANGSA BENCANA GEMPA BUMI DI LOMBOK TIMUR, INDONESIA

PENERBANGAN PULANG MANGSA BENCANA GEMPA BUMI DI LOMBOK TIMUR, INDONESIA

 

Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seramai 17 orang mangsa gempa bumi di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia akan diterbangkan pulang dengan menaiki penerbangan Air Asia AK309 yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada hari Selasa, 19 Mac 2019 jam 3.15 petang.

 

Jenazah warganegara Malaysia yang terkorban dalam bencana ini, mendiang Datin Tai Siew Kim dan mendiang Lim Sai Wah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari yang sama jam 5.10 petang dengan pesawat Garuda Indonesia GA816 serta diiringi oleh ahli keluarga, manakala empat (4) orang mangsa masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram.

 

Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Republik Indonesia dan pihak-pihak berkuasa tempatan atas kerjasama baik yang telah diberikan kepada wakil Kedutaan Besar Malaysia serta bantuan yang telah dihulurkan kepada para mangsa yang terlibat dalam bencana ini.

 

Kementerian Luar Negeri ingin mengingatkan kepada warganegara Malaysia yang menetap atau melancong ke luar negara supaya mendaftarkan diri dengan pihak Perwakilan Malaysia di negara yang berkenaan.

 

 

PUTRAJAYA

19 Mac 2019