Back

SIARAN AKHBAR : RUMUSAN KUNJUNGAN PIMPINAN COMMITTEE FOR ASEAN YOUTH COOPERATION (CAYC) DAN MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) KE ATAS MENTERI LUAR NEGERI, DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH PADA 7 JANUARI 2019

RUMUSAN KUNJUNGAN PIMPINAN COMMITTEE FOR ASEAN YOUTH COOPERATION (CAYC) DAN MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) KE ATAS MENTERI LUAR NEGERI,

DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH PADA 7 JANUARI 2019

 

Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah menerima kunjungan pimpinan Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diketuai oleh Mohd Zaidi Aziz, Setiausaha Agung CAYC, dan Jufitri Joha, Presiden MBM pada 7 Januari 2019. Perjumpaan ini turut dihadiri pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri (KLN). Kunjungan tersebut meliputi perbincangan perihal gerakan dan penglibatan belia dalam hubungan antarabangsa.  

 

Perjumpaan tersebut telah mencapai persefahaman seperti berikut:

 

  1. KLN mengiktiraf CAYC sebagai badan induk belia ASEAN dalam menjalankan kerja/program pembangunan belia di ASEAN, dan MBM sebagai badan induk belia yang mewakili belia Malaysia;

 

  1. Menteri Luar Negeri bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan platform belia antarabangsa, koordinasi bersama NGO dan agensi yang terlibat dalam pembangunan belia, dan bersetuju bekerjasama terutamanya dari segi jaringan serta sokongan teknikal dalam menjayakan program antarabangsa samada di dalam negeri atau di luar Malaysia;

 

  1. Mencadangkan agar CAYC diberi ruang dalam Sidang Kemuncak ASEAN bagi membawa isu dan suara mewakili belia ASEAN kepada ketua-ketua negara ASEAN;

 

  1. Mencadangkan CAYC diberi ruang/sesi membentangkan cadangan dan program-program di dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN (AMMY);

 

  1. CAYC dan MBM akan bekerjasama rapat bersama KLN, terutama dalam menyebar luas tentang kesedaran ASEAN di kalangan rakyat Malaysia, khususnya kepada generasi muda;

 

  1. Membuat perancangan pengisian aktiviti yang boleh disertai di peringkat ASEAN dan program yang lebih fokus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030;

 

  1. Mewujudkan program “Internship” belia-belia Malaysia di KLN; dan

 

  1. Melibatkan CAYC dan MBM di dalam perbincangan mesyuarat-mesyuarat antarabangsa atau bengkel yang berkaitan dengan pembangunan serantau yang memfokuskan kepada pembangunan belia, serta bekerjasama menangani isu-isu global dalam bentuk bengkel, diskusi, forum atau siaran akhbar.

 

KLN sentiasa komited untuk memastikan hubungan kerjasama yang akrab terbina antara Kementerian dan pelbagai pemegang taruh bagi membawa nama dan suara Malaysia di peringkat lebih tinggi di platform antarabangsa. Diharapkan kerjasama ini dapat memberi sinergi dan fokus yang baharu dalam  penglibatan dan pembangunan belia dalam hubungan antarabangsa.

 

 

PUTRAJAYA

8 Januari 2019