Back

SIARAN AKHBAR : SITUASI KESELAMATAN PASCA PENGUMUMAN KEPUTUSAN PEMILIHAN UMUM (PEMILU) REPUBLIK INDONESIA 2019

SITUASI KESELAMATAN PASCA PENGUMUMAN KEPUTUSAN

PEMILIHAN UMUM (PEMILU) REPUBLIK INDONESIA 2019

 

 

Susulan pengumuman keputusan Pemilihan Umum (Pemilu) Republik Indonesia 2019 pada 21 Mei 2019 oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), beberapa siri demonstrasi dilaporkan telah berlaku di sekitar Jakarta Pusat, Indonesia bagi membantah keputusan tersebut. Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah di hadapan Ibu Pejabat Badan Pengawas Pemilihan Umum (BAWASLU) di Jalan MH Thamrin, Jakarta Pusat.

 

Setakat ini enam (6) orang dilaporkan meninggal dunia, manakala 117 orang yang lain tercedera. Situasi di Jakarta Pusat pada masa ini masih terkawal. Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melaporkan terdapat kemungkinan demonstrasi besar-besaran akan dilakukan dalam masa terdekat di hadapan bangunan pejabat KPU dan BAWASLU di Jakarta Pusat dan kota-kota lain di seluruh Indonesia.

 

Kementerian Luar Negeri juga ingin mengesahkan bahawa setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terkesan secara langsung akibat demonstrasi ini. Rakyat Malaysia yang berada di Indonesia diminta supaya menjauhi kawasan-kawasan tumpuan peserta demonstrasi, mengikuti perkembangan terkini, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

 

Rakyat Malaysia yang berada di sekitar Jakarta Pusat yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my / jkonsular@gmail.com atau telefon +62 215 224 947 / +62 813 8081 3036.

 

 

PUTRAJAYA

22 Mei 2019