Back

SIARAN AKHBAR : STATUS PENARIKAN DIRI MALAYSIA DARI STATUT ROME MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA

STATUS PENARIKAN DIRI MALAYSIA DARI STATUT ROME

MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA

 

Pada 5 April 2019, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri supaya Malaysia menarik balik penyertaannya ke Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan kenyataan media pada 8 Mei 2019 mengenai penarikan diri Malaysia dari triti tersebut.

 

Dalam kenyataan media tersebut, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa seperti yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri, Kerajaan Malaysia telah mengemukakan surat penarikan diri penyertaan Malaysia ke Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 April 2019, selaku depositori bagi triti tersebut, setelah mengambil kira semua langkah yang perlu diambil untuk melaksanakan proses penarikan diri.

 

Walaupun Malaysia telah mengemukakan surat penarikan diri dari Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa kepada pihak PBB, namun pengekalan Malaysia sebagai Negara Pihak kepada triti tersebut seperti yang tertera dalam laman sesawang PBB adalah sangat mengecewakan.

 

Dalam perkara ini, Resident Coordinator PBB di Malaysia akan diminta untuk memberi penjelasan kepada Kementerian Luar Negeri pada hari ini, Rabu, 15 Mei 2019 mengenai proses dan status terkini penarikan diri Malaysia dari Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

 

PUTRAJAYA

15 Mei 2019