press release
press release


« Back

PRESS RELEASE : LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI, DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN KE RAS AL KHAIMAH, EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE), 14 FEBRUARI 2018

 

LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI,

DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN KE RAS AL KHAIMAH,

EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE), 14 FEBRUARI 2018

 

YB Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Anifah Haji Aman telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pemerintah Emiriah  Ras Al Khaimah, Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi di Istana Khuzam pada 14 Februari 2018 sempena lawatan kerja sehari ke Emiriah Ras Al Khaimah. Kehadiran YB Menteri Luar Negeri ke Ras Al Khaimah turut diiringi oleh TYT Duta Besar Malaysia ke UAE, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai serta pegawai-pegawai dari Wisma Putra dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai. Turut hadir dalam kunjungan tersebut adalah pegawai-pegawai tertinggi dari Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa UAE dan pihak berkuasa Ras Al Khaimah.

YB Menteri Luar Negeri semasa pertemuan dengan Pemerintah Emiriah Ras Al Khaimah telah menyampaikan salam daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri. Dalam pertemuan hampir sejam tersebut banyak perkara yang melibatkan kepentingan bersama telah dibincangkan. Ini termasuk perkembangan hubungan dua hala antara Malaysia-UAE, isu-isu semasa di rantau Asia dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Semasa pertemuan itu juga, YB Menteri Luar Negeri turut merakamkan penghargaan Kerajaan Malaysia di atas bantuan yang diberikan oleh Pemerintah Emiriah Ras Al Khaimah, serta semangat persaudaraan dan kepercayaan yang ditunjukkan oleh Kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan isu berkaitan penahanan warga Malaysia, Encik Richard Lau.

YB Menteri Luar Negeri seterusnya telah diraikan oleh Putera Pemerintah Ras Al Khaimah dan Pengerusi Lembaga Pengarah RAK Ceramics PJSC, Sheikh Khalid Bin Saud Al Qasimi di satu majlis santapan tengahari di Hotel Waldorf Astoria, Ras Al Khaimah. Kedua pihak turut berbincang mengenai peluang kerjasama dua hala di antara Malaysia dah UAE khususnya dengan Emiriah Ras Al Khaimah.

Terdahulu YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan pertemuan dengan Pihak Berkuasa Ras Al Khaimah dan telah memohon pertimbangan agar Encik Richard Lau dibebaskan dengan jaminan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang tempatan, sementara menunggu kes beliau disebut di mahkamah. YB Menteri Luar Negeri turut memohon pertimbangan agar kes beliau dapat diselesaikan secepat mungkin.

Pihak Berkuasa Ras Al Khaimah telah menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan permohonan ikat jamin Encik Richard Lau secara positif berlandaskan peruntukan undang-undang UAE.  Pihak Berkuasa Ras Al Khaimah turut menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan kes ini secepat mungkin.

YB Menteri Luar Negeri turut melakukan kunjungan ke atas Encik Richard Lau untuk melihat sendiri keadaan beliau di samping memaklumkan kesediaan Kerajaan UAE untuk mempertimbangkan permohonan ikat jamin dan menyelesaikan kes beliau secepat mungkin. Encik Richard Lau yang berada dalam keadaan sihat telah merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Menteri Luar Negeri dan Kerajaan Malaysia. YB Menteri Luar Negeri juga telah menekankan keperluan untuk Encik Richard Lau mematuhi peraturan perundangan tempatan sehingga kes ini diselesaikan sepenuhnya.

YB Menteri Luar Negeri juga ingin mengingatkan agar setiap rakyat Malaysia yang melawat Negara asing untuk sentiasa berhubung dengan Pejabat Perwakilan Malaysia di luar Negara dan mematuhi undang-undang Negara berkenaan.

 

PUTRAJAYA

15 FEBRUARI 201


« Back

Government Agency
Laman Web ISWA
Innovation Board

MFA EMERGENCY HELPLINE

OFFICE HOURS : 8.30 AM – 5.30 PM | TEL.NO : +603 – 8000 8000
AFTER OFFICE HOURS : TEL.NO : +603 – 8887 4570
CONSULAR OPERATION HOURS : Monday – Friday [8.30 AM – 4.00 PM] [Lunch Break - Friday Only : 12.00 Noon - 2.45 PM]
EMAIL : dutyofficer@kln.gov.my
[ Feedback Form ]  [ Feedback Response ]
[ Question & Answer ]