Web Content Display
Web Content Display


 

GEMPA BUMI DI INDONESIA

 

Gempa bumi dengan kekuatan 6.1 pada skala Richter dilaporkan melanda wilayah barat daya Lebak, Provinsi Banten, Indonesia pada 23 Januari 2018 jam 1:34 p.m. (waktu tempatan). 

 

Antara kawasan yang dilaporkan menerima impak gegaran adalah Jakarta, Bogor, Cianjur, Sukabumi dan Bandung di provinsi Jawa Barat serta beberapa wilayah di provinsi Jawa Tengah.

 

Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau menerima kesan secara langsung akibat kejadian gempa ini.

 

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besarnya di Jakarta telah berhubung dengan para pelajar Malaysia yang berada sekitar Jakarta, Bandung serta Bogor bagi memastikan keselamatan mereka. Rakyat Malaysia diminta sentiasa tenang dan mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini.

 

Rakyat Malaysia di Indonesia yang memerlukan bantuan konsular juga boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my atau nombor telefon  +62215224947 dan +6281380813036.

 

 

PUTRAJAYA

24 Januari 2018