Back

LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI KE MANILA, REPUBLIK FILIPINA 29 JUN – 1 JULAI 2022

 

LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI KE MANILA, REPUBLIK FILIPINA

29 JUN – 1 JULAI 2022

 

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan mengadakan Lawatan Kerja ke Manila, Republik Filipina dari 29 Jun hingga 1 Julai 2022 untuk menghadiri Upacara Pelantikan Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr. sebagai Presiden Republik Filipina ke-17 pada 30 Jun 2022. YB Menteri Luar Negeri akan diiringi oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri.

Lawatan ini merupakan manifestasi hubungan erat dua hala antara Malaysia dan Republik Filipina sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 1959. Malaysia bersedia untuk terus tingkatkan hubungan dengan Republik Filipina di bawah pimpinan Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr. dalam konteks kerjasama dua negara berjiran terdekat, dan juga dalam kerangka ASEAN serta forum-forum pelbagai hala. Semasa lawatan tersebut, YB Menteri Luar Negeri juga akan mengadakan satu sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia yang menetap di Manila.

Pada 2021, Filipina merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bernilai RM 32.53 bilion (USD 7.84 bilion), peningkatan 24.6 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada tahun 2020.

 

PUTRAJAYA

29 Jun 2022