Back

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK TÜRKIYE KE MALAYSIA 3 HINGGA 4 OGOS 2022

 

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK TÜRKIYE KE MALAYSIA

3 HINGGA 4 OGOS 2022

 

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan menerima lawatan sulung rasmi TYT Mevlüt Çavuşoğlu, Menteri Luar Negeri Republik Türkiye dari 3 hingga 4 Ogos 2022.

Lawatan ini merupakan susulan ke atas Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Republik Türkiye pada bulan lepas, serta sebagai persediaan bagi Lawatan Negara oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ke Republik Türkiye.

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dan TYT Mevlüt Çavuşoğlu akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk merangka hala tuju bagi pelbagai isu yang berkepentingan bersama sejak peningkatan hubungan Malaysia dan Türkiye ke Perkongsian Strategik Komprehensif. Selain daripada mengukuhkan kerjasama sedia ada, kedua-dua buah negara juga akan menerokai bidang baharu yang berpotensi seperti keselamatan makanan, perbankan digital Islam, e-dagang, industri pertahanan, petroleum dan gas, serta tenaga boleh diperbaharui. Kedua-dua Menteri Luar Negeri juga akan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkembangan serantau dan antarabangsa semasa perbincangan dua hala.

Semasa lawatan tersebut, TYT Mevlüt Çavuşoğlu dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri.

TYT Mevlüt Çavuşoğlu turut dijadualkan untuk mengadakan pertemuan berasingan dengan YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pertahanan.

Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. Jumlah dagangan Malaysia-Republik Türkiye pada 2021 bernilai melebihi USD4.09 bilion (RM16.97 bilion).

 

PUTRAJAYA

3 Ogos 2022