Back

LAWATAN RASMI TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI LUAR NEGERI QATAR KE MALAYSIA 11 HINGGA 12 OGOS 2022

 

LAWATAN RASMI TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI LUAR NEGERI

QATAR KE MALAYSIA

11 HINGGA 12 OGOS 2022

 

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan menerima lawatan rasmi TYT Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar dari 11 hingga 12 Ogos 2022.

Lawatan ini merupakan susulan ke atas Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Qatar pada bulan Mac 2022, serta sebagai persiapan awal untuk Lawatan Negara Yang Amat Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Amir Qatar ke Malaysia pada tahun 2023.

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dan TYT Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi merangka hala tuju bagi pelbagai isu yang berkepentingan bersama antara Malaysia dan Qatar. Agenda utama ialah untuk mengkukuhkan kerjasama sedia ada terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kerjasama memerangi pandemik dan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Semasa lawatan, TYT Sheikh Mohammed juga dijadualkan akan mengadakan kunjungan mengadap ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

TYT Sheikh Mohammed akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri dan juga mengadakan pertemuan berasingan dengan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Qatar ialah rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import keenam terbesar Malaysia di kalangan negara Asia Barat. Jumlah dagangan Malaysia-Qatar pada 2021 bernilai USD634.2 juta (RM2.63 bilion).

 

PUTRAJAYA

11 Ogos 2022