Back

LAWATAN RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE TÜRKIYE 5-8 JULAI 2022

LAWATAN RASMI YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE TÜRKIYE 5-8 JULAI 2022

 

 

YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Türkiye dari 5 hingga 8 Julai 2022.

 

YAB Perdana Menteri dijadual bertemu dengan rakan sejawat beliau, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Republik

Türkiye. Pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin ini akan memberikan peluang kepada mereka untuk meneliti perkembangan

pelaksanaan Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja Kerjasama Strategik yang dimeterai pada tahun 2014, serta meneroka inisiatif

baharu bagi meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan semasa Lawatan Rasmi dalam kolaborasi dua hala termasuk kerjasama pasca

COVID-19, pertahanan dan industri aeroangkasa serta usaha bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang

berkepentingan bersama.

 

YAB Perdana Menteri juga akan bertemu dengan pemain-pemain utama industri Türkiye dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi

antara Malaysia dan membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

 

Sempena lawatan ini, Malaysia dan Türkiye dijangka akan memuktamadkan beberapa Memorandum Persefahaman dalam bidang

kerjasama pendidikan, kesihatan, media dan komunikasi, pelancongan kesihatan, dan juga kolaborasi perniagaan.

 

YAB Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi bersama Keluarga Malaysia di Istanbul semasa majlis makan tengahari pada 5 Julai

2022.

 

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri; YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri

Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri; YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Datuk Dr. Haji

Abd. Latiff Ahmad Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas); Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan,

Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Darat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 

Lawatan ini jelas menunjukkan kepentingan yang diletakkan oleh Malaysia terhadap hubungan dan kerjasama dengan Türkiye sebagai

salah satu rakan Malaysia yang penting di Asia Barat. Pada tahun 2021, Türkiye merupakan rakan dagangan ke-3 terbesar Malaysia di

rantau Asia Barat dengan perdagangan bernilai RM16.97 bilion (USD4.09 bilion) dan projek -projek yang telah dilaksanakan bernilai

RM444.59 juta (USD130.91 juta).

 

 

 

 

 

PUTRAJAYA

4 Julai 2022