Back

MALAYSIA MENYATAKAN SEMULA KOMITMEN KE ARAH PEMBANGUNAN YANG LEBIH MAMPAN DAN INKLUSIF DI FORUM POLITIK PERINGKAT TINGGI BANGSA-BANGSA BERSATU MENGENAI PEMBANGUNAN MAMPAN 2022

 

MALAYSIA MENYATAKAN SEMULA KOMITMEN

KE ARAH PEMBANGUNAN YANG LEBIH MAMPAN DAN INKLUSIF DI

FORUM POLITIK PERINGKAT TINGGI BANGSA-BANGSA BERSATU

MENGENAI PEMBANGUNAN MAMPAN 2022

 

Malaysia bersama-sama Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain dan pihak berkepentingan telah menyertai Forum Politik Peringkat Tinggi PBB 2022 (HLPF 2022) yang diadakan dari 5 hingga 15 Julai 2022 di bawah naungan Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC). Persidangan ini merangkumi Segmen Menteri selama tiga hari yang berlangsung dari 13 hingga 15 Julai 2022 dan Segmen Peringkat Tinggi ECOSOC pada 18 Julai 2022.

Di bawah tema "Building Back Better from the Coronavirus Disease (COVID-19) while Advancing the Full Implementation of the 2030 Agenda for Sustainable Development”, HLPF 2022 memberi penekanan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti, Matlamat 5 tentang Kesaksamaan Jantina, Matlamat 14 berkaitan Kehidupan dalam Air, Matlamat 15 tentang Kehidupan di Darat dan Matlamat 17 mengenai Kerjasama Global.

YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) menyampaikan kenyataan Malaysia semasa Perbahasan Umum HLPF 2022. Beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (Agenda 2030), seperti yang terkandung dalam pelan tindakan pembangunan negara Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-12. Dato' Sri turut mengalu-alukan kerjasama antara negara-negara anggota PBB dalam perkongsian amalan terbaik, pengetahuan dan kepakaran teknikal melalui pembinaan kapasiti dalam bidang perubahan iklim, pembasmian kemiskinan, pendigitalan dan inovasi bagi mempercepatkan usaha dalam merealisasikan Agenda 2030.

Malaysia juga telah berjaya menganjurkan dua acara sampingan di sela-sela HLPF 2022. Kementerian Luar Negeri dan Unit Perancang Ekonomi dengan kerjasama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) telah menganjurkan acara sampingan yang bertajuk “Building Back Better in Localising SDGs: A Case Study of Malaysia and Three Southeast Asian Country Experiences of the Partnership Model” di Ibu Pejabat PBB, New York pada 11 Julai 2022. Program yang diadakan secara maya ini telah disertai oleh lebih 100 orang peserta.

Acara ini memberi peluang kepada Malaysia serta tiga negara Asia Tenggara lain iaitu Indonesia, Filipina dan Thailand untuk berkongsi pencapaian dan cabaran mereka dalam dalam pelaksanaan SDG di peringkat tempatan. Ahli panel juga berkongsi pengalaman mereka dalam konteks pemulihan daripada pandemik COVID-19.

Selain itu, Malaysia bersama Indonesia dan Filipina dengan kerjasama Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries-CPOPC) dan Komuniti Kelapa Antarabangsa (International Coconut Community-ICC) menganjurkan acara sampingan bertajuk “Catalyzing Actions for Sustainable Vegetable Oils in Support of Sustainable Development Goals” pada 11 Julai 2022. Program ini telah berjaya menarik lebih 160 penyertaan secara maya.

Acara sampingan ini menekankan peranan penting sektor minyak sayuran dalam menyokong pencapaian SDG. Acara ini juga dapat menjadi platform bagi menggalakkan kesedaran orang ramai tentang inisiatif terkini dalam memastikan kemampanan minyak sayuran dan mengenal pasti langkah bagi mempromosikan minyak sayuran mampan bagi pengeluar dan juga pengguna. Selain itu, pameran secara maya selama 6 hari juga telah diadakan dari 10 hingga 15 Julai 2022 yang memberi peluang kepada negara pengeluar minyak sayuran dan pihak berkepentingan mengetengahkan pengalaman dan amalan terbaik dalam menyokong pelaksanaan SDG.

Pada 19 Julai 2022, Malaysia telah mengambil bahagian dalam Segmen Peringkat Tinggi ECOSOC bertajuk “Looking Ahead: Acting Today to Secure a Better Future”. Semasa sesi tersebut, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri sebagai salah seorang panel telah berkongsi perspektif dan pengalaman Malaysia dalam pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19 serta usaha yang telah dilaksanakan ke arah mencapai Agenda 2030.

 

PUTRAJAYA

19 JULAI 2022