Archive Archive

Back

LAPORAN AKTIVITI PROGRAM MENDAMPINGI RAKYAT MALAYSIA 2014, KEDIAMAN DUTA BESAR MALAYSIA MEXICO CITY, 20 DISEMBER 2014,

 

LAPORAN AKTIVITI PROGRAM MENDAMPINGI RAKYAT MALAYSIA 2014

KEDIAMAN DUTA BESAR MALAYSIA

MEXICO CITY

 

 

1.         Pengenalan

Terdapat seramai hampir 40 orang rakyat Malaysia yang menetap untuk jangka panjang di Mexico dan negara-negara yang ditauliahkan serentak, berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City. Kebanyakan daripada mereka bekerja di Mexico dan selebihnya negara-negara yang ditauliahkan serentak iaitu Belize, Costa Rica, El Salvador, Guatemala dan Honduras.

 

Terdapat juga rakyat Malaysia yang datang ke Mexico untuk tugasan kerja singkat. Pada bulan Disember 2014, terdapat seramai 4 orang rakyat Malaysia datang ke Mexico atas tujuan tersebut. Mereka datang untuk urusan perasmian kilang DXN México S.A. de C.V. dan dijangka akan berada disini selama satu bulan.

 

2.         Aktiviti Tahun 2014

Pihak Malawakil telah mengadakan satu majlis bersama rakyat Malaysia pada 20 Disember 2014. Majlis tersebut juga mengambil kesempatan untuk meraikan kedatangan Ketua Canseri yang baharu beserta keluarga dan majlis perpisahan untuk sebuah keluarga Malaysia yang akan berhijrah ke Sepanyol.   

 

Hampir semua rakyat Malaysia yang menetap di Mexico dan pegawai ‘home-based’ telah menghadiri majlis tersebut.  Duta Besar Jamaica serta presiden kelab motorsikal kuasa besar Mexico adalah antara tetamu asing yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut.  Walau bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia yang menetap di negara-negara yang ditauliahkan serentak dapat hadir kerana masalah jarak.

 
Untuk makluman Kementerian, seramai 3 orang ahli kelab motorsikal kuasa besar Mexico telah melakukan aktiviti berkonvoi di Malaysia pada bulan Oktober 2014 yang lalu. Salah seorang ahli konvoi tersebut, adalah merupakan jurukamera TV tempatan Mexico. Beliau telah jatuh cinta dengan keindahan Malaysia dan keramahan rakyatnya, dan mendorong beliau untuk mengadakan promosi tentang Malaysia. Cadangan tersebut telah disambut baik oleh Duta Besar dan menyarankan agar promosi tersebut dilaksanakan dalam masa terdekat.

 

Para tetamu yang menghadiri majlis yang telah diadakan di Kediaman Rasmi Duta Besar bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 6.00 petang ini, telah dijamu dengan pelbagai hidangan masakan Malaysia.

 

3.         Kesimpulan

Majlis tersebut telah berjaya merapatkan hubungan antara pihak Kedutaan dan rakyat Malaysia.  Selain itu, majlis ini juga digunakan untuk memastikan Malawakil sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia serta mengetahui kebajikan mereka di samping memberi maklumat dan perkembangan terkini mengenai keadaan politik, ekonomi dan sosial negara. Rakyat Malaysia turut mengambil kesempatan ini untuk membina persahabatan sesama sendiri yang jelas kelihatan dengan pertukaran nombor telefon dan alamat emel serta laman sosial masing-masing.

 

Malawakil amat berterima kasih dengan peruntukan sebanyak RM3,500.00 yang telah disalurkan kepada Malawakil.  Memandangkan terdapat pertambahan rakyat Malaysia di Mexico, Malawakil berharap akan mendapat peruntukan yang lebih untuk mengadakan Program Mendampingi Rakyat Malaysia bagi tahun 2015.

 

 

 

 

 

 

Kedutaan Besar Malaysia

Mexico City

21 Disember 2014

 

 

 

PYT Dato`Jamaiyah M. Yusof bergambar dengan

sebahagian rakyat Malaysia yang hadir

 

 

 

PYT Dato`Jamaiyah bersama pegawai-pegawai dari

Syarikat DXN Mexico (Syarikat Malaysia)

 

 

 

 

Rakyat Malaysia sedang menjamu selera bersama PT Dato`Jamaiyah.

 

 

 

 

 

Rakyat Malaysia sedang menjamu selera.

 

 

 

 

Rakyat Malaysia sedang menjamu selera.