Archives
Konsul Jeneral Puji Penuntut Malaysia Berjaya Anjur Persidangan
MELBOURNE, 25 April (Bernama) -- Sidang Kemuncak Penuntut Malaysia selama empat hari yang berakhir malam semalam, disifatkan sebagai "satu kejayaan besar bagi pelajar kita di Australia dan pemimpin masa depan kita" oleh Konsul Jeneral Malaysia di sini Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya.
Katanya persidangan itu disertai lebih 800 anak muda Malaysia untuk menyemarakkan "kepelbagaian kita, kekuatan kita sebagai sebuah negara".
"Anda semua anak perantau, anak-anak yang meninggalkan tanah air untuk meningkatkan diri di Australia. Saya berharap anda akan kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian untuk menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan yang mengangkat kita menjadi negara maju berpendapatan tinggi," katanya.
Mohd Rameez yang menyokong gesaan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam persidangan itu agar menjadikan Malaysia sebuah negara tanpa ekstremis agama, kaum dan politik, turut menggesa penuntut mengambil jalan tengah.
"Latar belakang kaum tidak harus menjadi halangan kepada kita untuk bersatu sebagai 1Malaysia," kata Mohd Rameez.
Persidangan itu dihadiri penuntut Malaysia dari Sydney, Adelaide, Brisbane, Canberra, Perth dan Tasmania.