Archives
LAWATAN KERJA YB MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA KE MELBOURNE, 20 -22 APRIL 2014
YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia telah melakukan lawatan kerja ke Melbourne dari Ahad (20/4/2014) sehingga Selasa (22/4/2014). Lawatan kerja tersebut adalah atas pelawaan Persatuan Pelajar Malaysia di Australia atau MASCA untuk menghadiri dan merasmikan persidangan MASA (Malaysian Summit of Australia) yang kali pertama diadakan di Melbourne, Australia. MASA adalah satu perhimpunan terbesar antara para pelajar Malaysia di seluruh Australia yang kini mencecah lebih dari 20,000 pelajar, yang kebanyakkanya melanjutkan pengajian di Melbourne, Victoria (seramai 8,000 pelajar Malaysia di Melbourne sahaja). Persidangan MASA kali ini menyaksikan kehadiran Johan Merican (TalentCorp), Tricia Yeoh (IDEAS), Datin Paduka Marina Mahathir dan Syed Ibrahim Syed Noh. Tema Persidangan pada kali ini adalah “Bridging ideas, Molding the future”
YB Khairy semasa merasmikan persidangan MASA telah berucap mengenai Wawasan 2020 samada ianya akan menjadi satu realiti atau cuma impian semata-mata. Antara lain YB Khariy menekankan akan perlunya kita sama-sama menekan kepentingan menjadi satu bangsa Malaysia seperti yang diwar-warkan oleh YB Perdana Menteri melalui konsep 1 Malaysia. YB Khairy juga menyatakan akan kepentingan semua rakyat Malaysia terutamanya golongan belia untuk tidak sahaja menjadi pak turut dalam semua perihal akan tetapi untuk meneliti apa yang dikatakan oleh kesemua pemimpin tidak kira kerajaan atau pembangkang dan menilai sendiri mana yang betul atau tidak berdasarkan fakta yang benar.
Selain dari diadakan persidangan MASA yang bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pelajar Malaysia di Australia untuk berjumpa serta berinteraksi dengan pemimpin politik, ekonomi , NGOs serta golongan korporat dan pegawai tinggi kerajaan Malaysia di Australia, juga diadakan sukan tahunan pelajar Malaysia di Australia. Peserta yang menghadiri MASA bagi tahun ini adalah lebih dari 500 orang dan ianya adalah satu yang menggalakkan.
YB Menteri turut selain dari menghadiri persidangan MASA, mengikuti empat lagi program yang dianjurkan bersama dengan Konsulat Jeneral Malaysia, Melbourne. Antara program tersebut adalah berkayuh basikal bersama 6 pelumba trek Malaysia dari hotel penginapan di Marriott, Melbourne CBD ke St Kilda Beach di Albert Park; forum Kelab UMNO Australia yang diadakan di Konsulat Jeneral Malaysia; lawatan dan sesi ceramah di fasiltas Sukan Victoria di Victoria Sports Institute, Albert Park; dan lawatan serta taklimat oleh SETIA Melbourne (anak syarikat SP Setia).
YB Khairy turut serta menghadiri jamuan makan malam bersama pelajar Malaysia di Australia anjuran MASCA pada malam Isnin (21/4/2014). Pada amnya lawatan kerja YB Menteri walaupun diadakan semasa cuti umum Easter akan tetapi mendapat sambutan yang mengalakkan dari para pelajar dan rakyat Malaysia di Australia.