Archives
Program Mendampingi Rakyat Malaysia di Katanning, Australia Barat, 23 April 2021
Konsul Jeneral dan Konsul amat berbesar hati dapat beramah mesra dan meluangkan masa bersama Yang Berusaha Imam Alep Mydie dan komuniti Islam di Katanning pada 23 April 2021 di Masjid Katanning. Komuniti Islam terutamanya masyarakat Melayu di Katanning mempunyai banyak persamaan dengan masyarakat Melayu di Malaysia terutamanya dari segi penggunaan bahasa, tradisi Melayu dan agama. Katanning juga merupakan pengeluar utama daging kambing biri-biri halal di Australia Barat untuk kegunaan masyarakat Islam di Australia. Daging halal ini turut dieksport ke Malaysia dan negara-negara Islam yang lain di timur tengah.
Masjid Katanning merupakan salah satu tarikan utama di Katanning bagi pengunjung-pengunjung dari Malaysia. Masjid ini telah dibina pada tahun 1980 oleh masyarakat Melayu yang berhijrah ke Katanning semenjak tahun 1974 dari Kepulauan Christmas dan Cocos. Masjid ini telah dirasmikan pada 24 Mei 1981 oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama di atas kapasiti Almarhum sebagai Presiden Majlis Dakwah Islamiah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik pada ketika itu.