Events / News Events / News

Back

Lawatan Kerja YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, 23 November 2017

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengadakan lawatan kerja ke Negara Brunei Darussalam pada 23 November 2017 bersempena Rundingan Tahunan Pemimpin Ke-21. YAB Perdana Menteri diringi oleh YB Dato’ Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Negeri serta beberapa Menteri Kabinet yang lain, Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak dan pegawai-pegawai Kerajaan.

 

YAB Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Atur cara lawatan juga termasuk Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan oleh Paduka Seri Baginda Sultan Brunei Darussalam bagi meraikan YAB Perdana Menteri dan delegasi Malaysia.

 

Rundingan Pemimpin Tahunan ini merupakan salah satu platform terpenting dalam memperkukuh hubungan Malaysia–Brunei Darussalam. Semasa pertemuan tersebut, Pemimpin kedua-dua negara membincangkan segala isu-isu dua hala termasuk hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkaitan. Isu-isu utama yang akan diketengahkan termasuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan kerjasama dalam sektor pertahanan, pelancongan serta minyak dan gas.

 

Dari Januari hingga Julai 2017, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara direkodkan pada nilai US$0.62 billion (RM 2.69 billion). Lawatan YAB Perdana Menteri ini bakal membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka dan memperkukuh lagi kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.