Events / News Events / News

Back

SUMBANGAN KOMUNITI MALAYSIA DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KEPADA TABUNG COVID-19 RELIEF FUND

Pada 15 November 2021, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama (TYT) Dato' Raja Reza bin Raja Zaib Shah telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM24,800.00 (BND8,000) kepada YM Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan.  Sumbangan ini merupakan inisiatif Suruhanjaya Tinggi Malaysia bersama Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) di Negara Brunei Darussalam.  Turut hadir ialah Presiden PWM, Encik Azlan Ahmad.  Ini merupakan sumbangan kedua komuniti Malaysia kepada Tabung tersebut.  Terdahulu daripada itu mereka telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM31,000.00 (BND10,000).

 

Pada masa kini dianggarkan terdapat kira-kira 30,000 rakyat Malaysia menetap, bekerja dan belajar di Negara Brunei Darussalam.  Program ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat yang ketujuh yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia sejak gelombang kedua COVID-19 melanda Negara Brunei Darussalam pada 7 Ogos 2021.  Antara program-program lain yang telah dianjurkan adalah sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di hospital dan pusat-pusat kuarantin COVID-19 di seluruh negara.  Suruhanjaya Tinggi Malaysia turut menyumbangkan bakul makanan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat COVID-19 melalui konsep pandu lalu dan menganjurkan Program Derma Darah Bersama Komuniti Malaysia bagi menyahut seruan Pusat Pendermaan Darah, Negara Brunei Darussalam yang mengalami kekurangan bekalan darah pada masa ini.

 

Program-program kemasyarakatan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan komuniti Malaysia yang berterusan ini diharap dapat menyokong inisiatif Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam mendepani cabaran gelombang kedua COVID-19.  Setakat ini jumlah kes COVID-19 di Negara tersebut adalah sebanyak 14,269 kes.