News From Mission News From Mission

Back

FESTIVAL ASIAN – ASIAN AMBASSADORS’ WIVES ASSOCIATION GENEVA (AAWAG)

 

 

FESTIVAL ASIAN – ASIAN AMBASSADORS’ WIVES ASSOCIATION GENEVA (AAWAG),

11 JUN 2025

 

Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Geneva telah menyertai Festival Asian AAWAG pada 11 Jun 2025, bertempat di World Intellectual Property Organization (WIPO), Geneva, Switzerland. Bertemakan “Permata Asia”, sebanyak 23 buah negara Asia termasuk Malaysia telah mempamerkan kraftangan seperti barangan permata dan aksesori, pakaian tradisional, persembahan kebudayaan dan masakan tradisi negara masing-masing.

 

Semasa festival tersebut, Malaysia telah mempromosi sajian tradisi Malaysia, antaranya Nasi Lemak, Satay Ayam, Karipap dan Teh Tarik. Selain itu, Malaysia turut mempersembahkan tarian tradisional Melayu iaitu Joget, Zapin dan Inang dan juga memperagakan pakaian tradisional Puteri Perak dan Orang Ulu.

 

Penyertaan ini turut mencerminkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta beberapa negara ASEAN lain seperti Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam dalam mempromosi kepelbagaian budaya dan kekayaan warisan serantau di pentas antarabangsa, sejajar dengan tema “ASEAN 2025: Keterangkuman dan Kemampanan”.

 

Sejak tahun 2021, AAWAG, dengan kerjasama WIPO, telah menganjurkan festival tahunan ini dan disertai oleh Malaysia sehingga kini. Melalui acara sebegini, Malaysia berpeluang mempromosikan keunikan budaya Malaysia di Geneva. Ini termasuklah warisan kebudayaan tidak ketara Malaysia yang telah menerima pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO).