News From Mission News From Mission

Back

LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN, TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI, 27 - 29 FEBRUARI 2024

LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN, TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI, KE SEGMEN PERINGKAT TINGGI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA DAN SEGMEN PERINGKAT TINGGI PERSIDANGAN MENGENAI PELUCUTAN SENJATA DI GENEVA, SWITZERLAND

 

27 - 29 FEBRUARI 2024

 

 

 

YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri telah mengetuai delegasi Malaysia ke Segmen Peringkat Tinggi, Majlis Hak Asasi Manusia dan Segmen Peringkat Tinggi, Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata, pada 27-29 Februari 2024 di Geneva, Switzerland.

 

YB Timbalan Menteri Luar Negeri telah menyampaikan Kenyataan Negara di Majlis Hak Asasi Manusia pada 27 Februari 2024 dan Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pada 28 Februari 2024.

 

Dalam Kenyataan Negara di Majlis Hak Asasi Manusia, Malaysia telah mengetengahkan kemajuan yang telah dicapai dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Pada masa yang sama, Malaysia juga menyuarakan sokongan padu negara terhadap pembelaan hak asasi rakyat Palestin, usaha memerangi Islamofobia, cabaran-cabaran negara dalam menghadapi permasalahan berkaitan pelarian dan pemohon suaka dan pengukuhan kerjasama Malaysia dengan Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia di Geneva.

 

Di Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pula, Malaysia menekankan keperluan untuk masyarakat antarabangsa supaya menyegerakan pelupusan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), agar satu dunia bebas dari senjata WMD dapat dikecapi. Dalam pada itu, Malaysia menggesa Persidangan tersebut supaya segera mencapai kata sepakat ke atas Program Kerja bagi tahun 2024 agar dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Badan Rundingan mengenai pelucutan senjata dengan berkesan.

 

Kedua-dua Segmen ini adalah antara mesyuarat-mesyuarat utama di Geneva pada tahun 2024. Penyertaan YB Timbalan Menteri Luar Negeri adalah selari dengan peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam mempromosi hak asasi manusia dan keselamatan dan keamanan sejagat.

 

YB Timbalan Menteri Luar Negeri juga telah mengadakan sebanyak tiga pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Republik Iraq, Maldives, dan United Kingdom, serta dua pertemuan dengan ketua-ketua Organisasi Antarabangsa di Geneva iaitu Tuan Yang Terutama Volker Türk, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia dan Encik Jagan Chapagain, Setiausaha Agung, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

 

Secara amnya, perbincangan semasa pertemuan dua hala tersebut tertumpu kepada usaha-usaha untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara-negara yang terlibat; pendirian negara mengenai krisis di Gaza; kerjasama di peringkat antarabangsa termasuk isu-isu berkaitan Palestin dan Islamofobia; dan permohonan untuk masyarakat antarabangsa membantu proses penempatan semula golongan pelarian yang berdaftar di Malaysia ke Negara Ketiga, berdasarkan prinsip perkongsian beban dan tanggungjawab (burden-responsibility sharing); dan perbincangan mengenai isu-isu global yang lain.

 

Majlis Hak Asasi Manusia merupakan badan subsidiari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggotai oleh 47 buah negara. Majlis ini bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat. Malaysia pada masa ini merupakan salah satu anggota Majlis Hak Asasi Manusia sehingga Disember 2024.

 

Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pula merupakan Badan Perunding Pelbagai Hala PBB berhubung isu pelucutan senjata. Badan ini dianggotai oleh 65 buah negara, termasuk Malaysia.

 

Semasa lawatan kerja tersebut, YB Timbalan Menteri Luar Negeri turut mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Geneva yang telah diadakan di Rumah Malaysia. Di kesempatan tersebut, YB Timbalan Menteri Luar Negeri telah berkongsi dengan diaspora Malaysia mengenai pendirian yang dibawakan oleh Malaysia semasa Majlis Hak Asasi Manusia serta Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata. Beliau juga menyeru diaspora Malaysia untuk menghayati konsep Malaysia MADANI yang berteraskan nilai, etika dan akhlak dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.