MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
PEJABAT PERUTUSAN TETAP MALAYSIA KE PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU DI GENEVA, SWITZERLAND
SELASA, 1 APRIL 2025
Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (Malawakil Geneva) di Geneva, Switzerland telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Selasa, 1 April 2025. Majlis tersebut telah diadakan di premis pejabat Malawakil Geneva.
Para tetamu terdiri daripada Wakil Tetap dan diplomat dari negara-negara anggota ASEAN termasuk Timor Leste, HBS dan keluarga, LRS serta rakyat Malaysia yang menetap di Geneva. Pelbagai juadah makanan telah disediakan untuk para tetamu seperti Nasi Hujan Panas, Rendang Daging, Nasi Himpit, Kuah Kacang dan Ayam Masak Merah. Para tetamu juga dijamu dengan pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti Karipap, Kuih Koci dan Seri Muka.
Secara amnya, Majlis tersebut telah diadakan secara sederhana namun meriah. Majlis tersebut turut merapatkan silaturahim dan jalinan hubungan sesama rakyat Malaysia berbilang kaum yang bermastautin di Geneva. Selain itu, Majlis sebegini dapat terus menyemai rasa hormat-menghormati, ihsan dan perpaduan sesama rakyat Malaysia di Geneva, sekaligus menghayati nilai-nilai teras yang ditekankan dalam Malaysia MADANI.


