News From Mission News From Mission

Back

PENYERTAAN MALAYSIA DALAM PAMERAN ASEAN DI PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN HARTA INTELEK DUNIA (WIPO)

PENYERTAAN MALAYSIA DALAM PAMERAN ASEAN

DI PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN HARTA INTELEK DUNIA (WIPO)

 

Malaysia bersama negara-negara anggota ASEAN telah menganjurkan Pameran Bersama bersempena dengan Perhimpunan Agung ke-65 Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) di Geneva, Switzerland pada 9-17 Julai 2024. Bertemakan “ASEAN Kreatif dan Mampan”, pameran tersebut bertujuan mempromosikan industri kreatif dan produk harta intelek dari negara-negara anggota ASEAN. Ia telah dikunjungi sekitar 1,000 delegasi yang menghadiri Perhimpunan Agung WIPO tersebut.

 

Penyertaan Malaysia dalam pameran ini diterajui oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva. Semasa pameran tersebut, Malaysia telah mengetengahkan produk harta intelek berkaitan industri kreatif dan seni warisan tradisional dan kebudayaan negara seperti batik dan kraftangan Malaysia. Selain itu, produk yang telah mendapat pengiktirafan Petunjuk Geografi (Geographical Indication) seperti Beras Bario, Lada Sarawak, Kek Lapis Sarawak, Dodol Melaka dan Songket Terengganu juga diketengahkan semasa pameran tersebut.

 

Kemuncak pameran tersebut adalah penganjuran majlis resepsi oleh negara-negara anggota ASEAN pada 15 Julai 2024. Ia telah dihadiri sekitar 600 tetamu. Selain mempromosikan produk harta intelek berkaitan industri kreatif dan warisan negara, Malaysia juga telah mempersembahkan tarian tradisional melayu iaitu Zapin dan Joget semasa berlangsungnya majlis resepsi tersebut.

 

Di samping itu, syarikat Ruzzgahara yang mewakili Pertubuhan Kraf Malaysia turut menyertai pameran tersebut bagi membantu usaha mempromosikan batik dan kraftangan Malaysia.

 

Sebagai negara anggota, Malaysia dan WIPO menikmati jalinan hubungan dan kerjasama yang erat sejak 1989. Selain menerima manfaat menerusi perjanjian-perjanjian yang ditadbir oleh WIPO, Malaysia turut bekerjasama dengan organisasi tersebut dalam pelbagai aspek pembangunan dan kemajuan ekosistem harta intelek negara, terutamanya menerusi program pembangunan kapasiti dan bantuan teknikal. Perutusan Tetap Malaysia di Geneva memainkan peranan penting dalam memastikan keterlibatan Malaysia dalam pelbagai agenda dan inisiatif WIPO di peringkat antarabangsa.

 

Malaysia amat komited untuk terus mengembangkan potensi harta intelek sebagai pemangkin dan enjin utama pertumbuhan negara. Selain meningkatkan daya saing, inovasi dan ilmu pengetahuan, harta intelek memainkan peranan penting dalam mendokong pembangunan dan kemakmuran ekonomi dan sosial di Malaysia. Ia juga konsisten dengan hasrat Malaysia untuk mencapai tahap negara maju serta melestarikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang tahun 2030.

 

Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Geneva, Switzerland

 

15 Julai 2024