Archives Archives

Back

MAJLIS RAMAH MESRA DAN JELAJAH KONSULAR BERSAMA DIASPORA MALAYSIA DI ZHEJIANG

Buat julung-julung kalinya, Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai menganjurkan Majlis Ramah Mesra dan Jelajah Konsular Bersama Diaspora Malaysia di Zhejiang, salah satu wilayah di bawah tanggungjawab Malawakil. Majlis tersebut telah diadakan pada 26 September 2025 di Hotel Intercontinental Hangzhou, dengan kerjasama Malaysian in JiangZhe Association (MJZ) dan Malaysian Student Association in Zhejiang (MSAZ). Lebih 150 orang tetamu hadir, terdiri daripada latar belakang profesional, pemilik perniagaan dan pelajar yang bermastautin di wilayah Zhejiang.

 

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Presiden MSAZ, Cik Adeline Neoh Yi Tien dan Presiden MJZ, Encik Eugene Chua. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Konsul Jeneral, Encik Mohd Shahafeez Shaharis. Dalam ucapannya, Konsul Jeneral menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan komuniti Malaysia selaras dengan prinsip Malaysia MADANI dan menjaga nama baik negara di perantauan. Beliau juga menyeru para diaspora untuk berdaftar dengan pejabat Konsulat bagi tujuan meluaskan jaringan komunikasi dan memudahkan pihak Konsulat memberikan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

 

Pihak Konsulat seterusnya memberi penerangan tentang latar belakang pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai dan pejabat Malawakil yang lain di China secara umumnya. Selain itu, Malawakil juga menjelaskan tentang fungsi Konsulat Jeneral khususnya dari sudut perkhidmatan konsular yang ditawarkan seperti pembaharuan pasport, pengeluaran Sijil Kecemasan, pendaftaran perkahwinan, pendaftaran kelahiran dan pengesahan dokumen.

 

Majlis turut diserikan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan persembahan oleh para pelajar. Tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah termasuk menu masakan Malaysia seperti mi kari dan masak lemak cili api.