Announcements Announcements

Back

KENYATAAN MEDIA OLEH SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

 

 

 SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

__________________________________________________________________________________________________________

Bil.27/2018

 URUSAN PILIHAN RAYA UMUM KE-14 (PRU-14)

 

1.  Suruhanjaya  Pilihan  Raya  Malaysia  (SPR)  telah  menerima Perisytiharan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen Penggal Ke -13 pada 7 April 2018 dan diikuti oleh pemakluman rasmi oleh Speaker Dewan Rakyat berhubung dengan Pembubaran Parlimen Penggal Ke-13 serta Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi semua Negeri dan DUN-DUN bagi semua Negeri.

 

2. Sehubungan dengan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas berkaitannya pada hari ini dan menetapkan bahawa satu Pilihan Raya Umum Ke-14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Pembubaran Parlimen Ke-13. Bagi maksud menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-14 ini, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti yang berikut:

 

TARIKH KELUAR WRIT            :  11 APRIL 2018 (RABU)

HARI PENAMAAN CALON  :  28 APRIL 2018 (SABTU)

HARI MENGUNDI AWAL      :  5 MEI 2018 (SABTU)

HARI MENGUNDI                  :  9 MEI 2018 (RABU)

 

3.  Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 11 hari, bermula pada hari Penamaan Calon sehingga pukul 11.59 malam 8 Mei 2018.

 

4.  Bagi menjalankan proses PRU14 ini, SPR telah melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Manakala untuk tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR juga menubuhkan 445 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

 

 5.  Pada pilihan raya ini, seramai 259,391 orang petugas dilantik daripada kalangan orang awam untuk pengendalian proses PRU-14. Manakala sebanyak 8,989 buah premis bangunanakan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 28,995 Tempat Mengundi (Saluran) dan dianggarkan memerlukan belanjawan sebanyak RM500 JUTA.

 

6.  Daftar Pemilih Pilihan Raya PRU14 yang akan digunakan untuk PRU-14 adalah sehingga Suku Keempat Tahun 2017. Daftar Pemilih tersebut mengandungi 14,940,624 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada: 

 

  • Pemilih Biasa : 14,636,716 orang 
  • Pemilih Awal (Tentera dan Pasangan/Polis) : 300,255 orang 
  • Pengundi Tidak Hadir Luar Negara : 3,653 orang

 

7.  Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dijual pada 16 APRIL 2018. Para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui Laman Web SPR (www.spr.gov.my) atau melalui aplikasi MYSPR SEMAK atau telefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 juga mulai 16 APRIL 2018.

 

8.  Pada PRU-14 ini juga, SPR telah menjemput 14 buah negara sebagai Pemerhati Antarabangsa yang terdiri daripada Badan Pengurusan Pilihan Raya dari Negara-Negara anggota ASEAN, KOMANWEL, ASIA dan EROPAH serta sebuah pusat kajian dan sokongan kepada badan pengurusan pilihan raya yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdomiaitu Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC).

 

9.  SPR juga turut melantik 14 buah NGO dan Wakil Universiti sebagai pemerhati tempatan untuk menjalankan pemerhatian ke atas penjalanan proses PRU14 ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

 

10. Pemerhati Antarabangsa dan Pemerhati Tempatan dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.

 

11. Dalam hal ini SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRU-14 ini.

 

 

12.  Suka saya mengingatkan bahawa Tarikh Tutup Permohonan Undi Pos Dalam Negara bagi kategori Borang 1A akan ditutup pada 28 APRIL 2018. Manakala Tarikh tutup bagi permohonan kategori Borang 1C adalah pada 23 APRIL 2018.

 

13.  Maklumat-maklumat lain berhubung dengan urusan pilihan raya ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

 

Sekian dan terima kasih.

 

 

TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH

Pengerusi

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

Tarikh : 10 April 2018 / 24 Rejab 1439H