Events / News Events / News

Back

SAMBUTAN BULAN SUKAN NEGARA 2019 PARIS, OKTOBER 2019

Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Paris, Perancis telah mengadakan sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) 2019 di Paris sepanjang bulan Oktober 2019. Pelbagai aktiviti sukan dan riadah telah diadakan termasuk golf, zumba, bowling dan juga futsal.

 

Aktiviti pertama yang diadakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Paris adalah sukan golf pada 6 Oktober 2019. Sukan tersebut telah diadakan di Golf de I'lle Fleurie, 30 minit daripada kota Paris dan dirasmikan oleh TYT Dato’ Dr. Azfar Mohamad Mustafar, Duta Besar Malaysia ke Perancis.

 

Aktiviti kedua yang diadakan pada minggu seterusnya, 13 Oktober 2019 adalah aktiviti zumba bertempat di Rumah Malaysia. Senamrobik zumba yang meriah dan rancak telah diketuai oleh jurulatih Adeline. Rata-rata peserta yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak kelihatan bersemangat dan gembira mengikuti rentak lagu yang dimainkan. Senamrobik telah diakhiri dengan tarian poco-poco.

 

Aktiviti ketiga iaitu sukan bowling yang ditunggu-tunggu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan termasuk kanak-kanak. Aktviti tersebut telah diadakan di Bowling Mouffetard pada 19 Oktober 2019. Walaupun terdapat demonstrasi jalanan pada hari tersebut, ia tidak mematahkan semangat para peserta untuk menjayakan aktiviti sukan bowling tersebut.  

 

Aktiviti terakhir adalah futsal yang telah diadakan di Paris La Defense Arena pada 26 Oktober 2019. Peserta-peserta yang terlibat terdiri daripada pegawa-pegawai di KBM dan juga pelajar-pelajar tajaan yang menuntut di sekitar Paris. Pasukan KBM yang diketuai oleh TYT Duta Besar sendiri telah berjaya menewaskan pasukan penuntut Malaysia.

 

Secara keseluruhannya, Bulan Sukan Negara di Paris telah disertai lebih daripada 75 orang pegawai dan ahli keluarga KBM, agensi-agensi seperti Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO, Pejabat Pertahanan, Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan JPA, Jabatan Perdana Menteri dan Tourism Malaysia serta pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sekitar Paris. 

 

Sambutan BSN 2019 di Perancis telah diadakan dengan jayanya serta mencapai matlamat dan objektifnya iaitu menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif. Sambutan BSN 2019 telah diikuti dengan jamuan ringan yang disediakan oleh Perwakilan Paris dimana para peserta berpeluang untuk beramah mesra di antara satu sama lain. Oleh yang demikian, penganjuran BSN 2019 turut berjaya memupuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan pegawai dan kakitangan serta pelajar-pelajar yang menetap di Perancis.