Back

212 RAKYAT MALAYSIA TERKANDAS DI UZBEKISTAN SELAMAT PULANG KE MALAYSIA

212 RAKYAT MALAYSIA TERKANDAS DI UZBEKISTAN SELAMAT PULANG KE MALAYSIA
 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai 212 rakyat Malaysia yang terkandas di Tashkent, Uzbekistan telah berlepas menerusi penerbangan Uzbekistan Airways pada hari Sabtu, 21 Mac 2020 dan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari yang sama jam 9:00 malam. Penerbangan ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Uzbekistan.

Pesawat yang sama telah digunakan untuk membawa pulang sekitar 200 rakyat Uzbekistan yang terkandas di Malaysia pada hari yang sama jam 11:30 malam, di bawah penyelarasan Kedutaan Besar Uzbekistan di Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Uzbekistan atas inisiatif serta bantuan yang dihulurkan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas.

Kerajaan Malaysia amat prihatin dan sentiasa memantau secara rapat perkembangan rakyat Malaysia di luar negara melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia bagi memastikan semua yang terkandas di luar negara dapat pulang ke Malaysia dengan segera.

 

YB DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA 
22 Mac 2020