Back

225 RAKYAT MALAYSIA DI BANGLADESH SELAMAT TIBA DI TANAH AIR

225 RAKYAT MALAYSIA DI BANGLADESH SELAMAT TIBA DI TANAH AIR

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dan Parti Kongres India Malaysia (MIC), seramai 225 orang rakyat Malaysia telah selamat tiba daripada Bangladesh di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5:46 pagi ini, 26 Mac 2020. Kesemua mereka dibawa pulang melalui penerbangan sewa khas Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dibiayai sepenuhnya oleh Parti Kongres India Malaysia (MIC).

Mereka yang dibawa pulang terdiri daripada 130 orang pelajar, 55 orang pegawai dari Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, 35 orang ekspatriat dan 5 orang tanggungan pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Kesemua rakyat Malaysia yang dibawa pulang ini telah menjalani proses saringan kesihatan di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri semasa sidang akhbar secara langsung melalui Facebook di Wisma Putra pada 24 Mac 2020 telah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada YB Tan Sri S. A. Vigneswaran, Presiden MIC yang sekali lagi tampil kehadapan bagi membantu memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara. MIC sebelum ini telah membiayai 6 penerbangan membawa pulang seramai 1,119 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Thiruchirappali (Trichy), India melalui penerbangan Air Asia. 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 
PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA
26 Mac 2020