Back

6,749 RAKYAT MALAYSIA BERJAYA DIBAWA PULANG KE TANAH AIR

6,749 RAKYAT MALAYSIA BERJAYA DIBAWA PULANG KE TANAH AIR

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa sehingga jam 6:00 petang, 6 April 2020, seramai 6,749 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 buah negara telah berjaya dibawa pulang ke tanah air. Usaha ini dilakukan sama ada dengan pembiayaan Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun secara persendirian.  

 

Terkini, pada 5 dan 6 April 2020, seramai 444 rakyat Malaysia yang terkandas telah selamat kembali ke tanah air. Perincian ketibaan rakyat Malaysia dalam tempoh ini adalah seperti berikut:

 

NO.

NEGARA

PENERBANGAN

JUMLAH

1

India

127 penumpang dari Chennai menerusi Pesawat Sewaan Khas Malindo Air pada 5 April 2020

306

102 penumpang dari New Delhi menerusi Pesawat Sewaan Khas Malindo Air pada 5 April 2020

77 penumpang dari Mumbai menerusi Pesawat Sewaan Khas Malindo Air pada 6 April 2020

2

Filipina

Penerbangan komersial Malaysia Airlines MH705 pada 5 April 2020

65

3

New Zealand

Penerbangan komersial Malaysia Airlines MH144 pada 5 April 2020

45

4

Australia

Penerbangan komersial Malaysia Airlines MH148 pada 5 April 2020

4

5.

Jepun

Penerbangan komersial Japan Airlines JL723 pada 6 April 2020

24

JUMLAH

444

 

 

Selain itu, seramai 40 orang rakyat Malaysia, iaitu kumpulan kedua dari New Zealand dijadualkan tiba menerusi penerbangan MH144 pada jam 7:30 malam ini.

 

Setakat ini, seramai 1,025 orang rakyat Malaysia masih direkodkan terkandas di 20 buah negara. Kementerian dan Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus memainkan peranan pro-aktif dan memudahcara urusan yang berkaitan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

 

JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DI INDIA

 

Kementerian Luar Negeri menerima laporan bahawa seramai 161 jemaah tabligh Malaysia sedang dikuarantin di India. Daripada jumlah ini, seramai 126 orang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin di New Delhi manakala 35 yang lain dikuarantin di luar New Delhi.

 

Pada masa yang sama, saya juga ingin memaklumkan, Wisma Putra telah ambil maklum berhubung penahanan oleh pihak berkuasa India terhadap beberapa orang rakyat Malaysia yang sepatutnya menaiki penerbangan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi semalam. Penahanan tersebut adalah ekoran daripada keputusan Kerajaan India untuk melaksanakan proses kuarantin ke atas semua rakyat asing yang menyertai perhimpunan tabligh di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac 2020. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan pihak Kerajaan India bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terjaga selain berusaha menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Ini termasuk inisiatif Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menghantar makanan dan barangan keperluan asas kepada kumpulan berkenaan, walaupun berdepan kesukaran kerana peraturan kuarantin yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan India adalah amat ketat.

 

Dalam pada itu, kami Wisma Putra, ingin menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih berada di India agar mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa India sepanjang krisis Covid-19 ini. Pematuhan ini amat penting bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada rakyat Malaysia sendiri khususnya.

 

SITUASI RAKYAT MALAYSIA DI SINGAPURA

 

Kementerian Luar Negeri mengambil maklum keputusan Kerajaan Singapura untuk melaksanakan partial lockdown bermula 3 April 2020. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sedang mendapatkan statistik terkini mengenai jumlah pekerja Malaysia yang masih berada di Singapura daripada Kementerian Tenaga Kerja negara itu. Dianggarkan seramai 25,000 rakyat Malaysia masih berada di Singapura.

 

Kerajaan Malaysia amat prihatin dengan situasi dan cabaran yang sedang ditempuhi oleh rakyat Malaysia di Singapura khususnya ketika kedua-dua negara menggiatkan usaha menangani penularan COVID-19.  Kementerian Luar Negeri bersama-sama agensi pusat yang lain juga sentiasa berhubung rapat dengan Kerajaan Negeri Johor dalam mempermudahkan urusan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Kerajaan yakin, menerusi hubungan akrab dan istimewa yang sedia terjalin di pelbagai peringkat antara kedua-dua negara, pendekatan terbaik mampu dicapai demi kepentingan bersama. 

 

Kementerian Luar Negeri turut ingin memaklumkan bahawa seramai 78 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Republik itu telah berjaya dibawa pulang pada 2 April 2020. Mereka terdiri daripada wanita hamil, warga emas, OKU dan kanak-kanak. Ini adalah hasil jalinan kerjasama yang erat di antara kedua-dua belah pihak yang telah membuahkan hasil yang positif.

 

Saya bagi pihak Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara yang telah bertungkus lumus dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

 

PERKEMBANGAN PELAJAR MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LUAR NEGARA

 

Merujuk kepada surat daripada Universiti Sains Malaysia (USM) bertarikh 29 Mac 2020, saya ingin memaklumkan bahawa keputusan sama ada untuk membawa pulang atau tidak pelajar-pelajar Malaysia USM-KLE perlu dirujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ini selaras sebagaimana kenyataan terbaru KPT pada 3 April 2020 bahawa semua pelajar adalah dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing.

 

Wisma Putra melalui Perwakilan-perwakilan Malaysian di luar negara sentiasa berhubung dengan Education Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta wakil-wakil komuniti pelajar Malaysia di luar negara bagi mendapatkan perkembangan terbaru seterusnya memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan para pelajar yang terkandas diberi perhatian sewajarnya.

 

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19 KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

PUTRAJAYA
6 April 2020