Back

EVAKUASI PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DARI PROVINSI RIAU DAN JAMBI, REPUBLIK INDONESIA

EVAKUASI PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DARI PROVINSI RIAU DAN JAMBI,

REPUBLIK INDONESIA

 

Kumpulan pertama seramai 47 orang pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Provinsi Riau telah selamat tiba di Malaysia melalui penerbangan dari Pekanbaru ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada tengahari, 25 September 2019. Ketibaan para pelajar telah disambut oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Haji Marzuki Yahya serta pegawai-pegawai dari kementerian dan agensi berkaitan.

 

Kumpulan kedua pelajar Malaysia seramai 31 orang dijangka akan tiba pada pukul 6.10 petang hari ini.

 

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dengan kementerian/agensi berkaitan sedang menguruskan pemindahan 35 orang pelajar dari Pekanbaru ke Jakarta untuk ditempatkan sementara di Malaysia Hall, Jakarta. Pemindahan para pelajar tersebut dibantu oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia di Indonesia iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru bersama wakil-wakil agensi di kedua-dua perwakilan tersebut.

 

Mengikut perancangan pemindahan pelajar yang ditetapkan, setakat ini seramai 113 pelajar dapat dipindahkan dari Provinsi Riau.

 

Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan proses evakuasi pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di Provinsi Riau dan Jambi, Indonesia.

 

 

PUTRAJAYA

25 September 2019