Back

GEMPA BUMI DI AMBON, MALUKU, INDONESIA

GEMPA BUMI DI AMBON, MALUKU, INDONESIA

 

Kementerian Luar Negeri mengikuti perkembangan susulan gempa bumi berukuran 6.8 skala richter yang berpusat 42 kilometer timur laut Kota Ambon, Daerah Maluku di Republik Indonesia pada pagi 26 September 2019.

 

Menurut laporan setakat ini, lebih 20 orang disahkan terkorban dan lebih seratus yang lain tercedera. Seramai 2,000 penduduk telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan. Gempa bumi tersebut turut merosakkan pelbagai infrastruktur awam seperti jambatan, sekolah, bangunan pejabat kerajaan dan kawasan perumahan. Kementerian Luar Negeri mengucapkan simpati dan takziah kepada Pemerintah dan rakyat Republik Indonesia, terutamanya kepada keluarga-keluarga mangsa yang terkorban dan penduduk yang terkesan ekoran bencana alam ini.

 

Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa setakat ini tiada warganegara Malaysia yang dilaporkan terkesan akibat bencana ini. Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sentiasa memantau perkembangan selanjutnya.

 

Warganegara Malaysia yang berada di kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular dinasihatkan supaya berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta seperti berikut:

 

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, JAKARTA

Jalan H.R. Rasuna Said
           Kav. X/6 No 1-3, Kuningan
           Jakarta Selatan, 12950
           Republik Indonesia

Tel.                              :           +622 522 4947 dan +62 813 8081 3036

E-mel                          :           mwjakarta@kln.gov.my 

 

WISMA PUTRA       :           03-8887 4530 / 03-8887 4570 (selepas waktu bekerja) 

 

 

PUTRAJAYA

27 September 2019