HASIL LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI KE MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI BRICS RIO DE JANEIRO, BRAZIL 28 – 29 APRIL 2025
HASIL LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI KE MESYUARAT
MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI BRICS
RIO DE JANEIRO, BRAZIL
28 – 29 APRIL 2025
YB Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasa telah mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Republik Persekutuan Brazil pada 28 dan 29 April 2025 bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS.
Pada 29 April 2025, Menteri Luar Negeri telah menyampaikan Kenyataan Negara semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS di bawah tema “The Role of Global South in Reinforcing Multilateralism”. Malaysia menekankan keperluan untuk memperkukuh prinsip-prinsip multilateralisme dan menyeru negara-negara Selatan Global supaya mengorak hala tuju baharu dalam membentuk semula kerjasama antarabangsa dan menjadi peneraju dalam penyusunan semula landskap global, susulan tindakan tarif secara unilateral oleh Amerika Syarikat.
Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia turut menyeru jalinan kerjasama yang lebih mendalam antara ASEAN dan BRICS bagi mempertingkatkan kerjasama ekonomi serantau, dan memperkukuh usaha kolektif ke arah ekonomi global yang lebih adil dan mampan. Malaysia turut menekankan keperluan untuk memperkukuh perdagangan intra-rantau, membangunkan rantaian bekalan yang berdaya tahan dan meneroka industri memuncul berteraskan kemampanan dan inovasi.
Malaysia turut menyeru BRICS untuk bersatu dalam mencapai peradaban dunia yang adil dan inklusif. Dalam konteks ini, Malaysia mengulangi sokongan teguhnya kepada rakyat Palestin dan hak asasi mutlak mereka termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Malaysia juga mengalu-alu dan menyokong Kepengerusian BRICS - Brazil dalam bidang perubahan iklim; kerjasama kesihatan; teknologi hijau dan inovasi; ekonomi digital dan kecerdasan buatan.
Terdahulu pada 28 April 2025, YB Menteri Luar Negeri telah menghadiri Majlis Resepsi “BRICS Brazilian Experience” yang dihos oleh Datuk Bandar Rio de Janeiro bagi menyambut Negara-Negara Anggota dan Negara Rakan BRICS.
YB Menteri Luar Negeri turut mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat beliau dari Brazil, Bolivia, Cuba, Nigeria, Iran, Thailand, Rusia, Afrika Selatan dan Uganda, dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama.
PUTRAJAYA
30 April 2025