Back

ISU SUMBANGAN UNTUK MASJID AL-AQSA, PALESTIN

ISU SUMBANGAN UNTUK MASJID AL-AQSA, PALESTIN

 

Kementerian Luar Negeri merujuk kepada beberapa laporan media berhubung kenyataan Duta Besar Palestin ke Malaysia pada 18 Februari 2020 mengenai isu sumbangan untuk Masjid Al-Aqsa, Palestin. Kenyataan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi, terutamanya daripada badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani di Malaysia. Kementerian ini juga mengambil maklum tentang kenyataan bersama yang telah dikeluarkan di bawah nama beberapa badan bukan kerajaan pada 19 Februari 2020.

 

Kementerian Luar Negeri memandang serius isu yang telah dibangkitkan. Pada hari ini, Kementerian ini telah mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Palestin bagi mendapatkan penjelasan. Menurut Duta Besar Palestin, kenyataan beliau telah dibuat berdasarkan rekod daripada pihak pengurusan Masjid Al-Aqsa sejak 2018. Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma telah dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjid Al-Aqsa yang diuruskan oleh Kerajaan Jordan. Dalam konteks ini, Kementerian ini juga mengambil maklum kenyataan gabungan badan-badan bukan kerajaan yang menyatakan antara lain, dana kutipan daripada rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan-rakan badan bukan kerajaan masing-masing di Palestin. Sumbangan ini turut melibatkan bantuan kepada penduduk Palestin di sekitar Masjid Al-Aqsa terutama pada bulan Ramadan.

 

Kementerian Luar Negeri menyokong dan menghargai usaha-usaha murni yang telah dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan di Malaysia dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin yang meliputi bantuan kewangan, makanan, perubatan, pendidikan dan lain-lain.

 

Sememangnya Kementerian ini mempunyai hubungan baik dengan beberapa badan bukan kerajaan dan sentiasa memudah cara serta membantu usaha mereka menyalurkan bantuan kepada Palestin. Kementerian ini juga menggalakkan badan-badan bukan kerajaan yang lain untuk turut mendapatkan kerjasama Kementerian ini bagi melestarikan bantuan dari Malaysia untuk rakyat Palestin.

 

Kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin untuk mendapat kebebasan dan mencapai kemerdekaan. Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah-wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, dan juga Semenanjung Gaza.

 

 

PUTRAJAYA

20 Februari 2020