Back

KEMALANGAN JALAN RAYA MELIBATKAN LIMA BELAS (15) ORANG WARGANEGARA MALAYSIA DI MUZDALIFAH, ARAB SAUDI

 

KEMALANGAN JALAN RAYA MELIBATKAN LIMA BELAS (15) ORANG

WARGANEGARA MALAYSIA DI MUZDALIFAH, ARAB SAUDI

 

Kementerian Luar Negeri mengesahkan insiden kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja yang dinaiki oleh lima belas (15) orang warganegara Malaysia telah terbabas di Muzdalifah, Arab Saudi pada hari Khamis, 9 Jun 2022. Mereka merupakan pekerja di sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Makkah. Susulan insiden tersebut, mereka telah dibawa ke Hospital An Nur dan King Faisal Hospital di Makkah bagi mendapatkan rawatan.

Dua (2) daripada mangsa mengalami kecederaan serius patah tulang di bahagian bahu dan tengkuk, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang setelah menerima rawatan. Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung insiden kemalangan tersebut.

Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau perkembangan insiden ini serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya. Kementerian Luar Negeri mendoakan agar kesemua mangsa kembali pulih dengan seberapa segera.

 

PUTRAJAYA

10 Jun 2022