Back

KEMENTERIAN LUAR NEGERI AKAN PERTIMBANGKAN SYOR-SYOR JAWATANKUASA PILIHAN KHAS HUBUNGAN DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA PARLIMEN MALAYSIA

KEMENTERIAN LUAR NEGERI AKAN PERTIMBANGKAN SYOR-SYOR

JAWATANKUASA PILIHAN KHAS HUBUNGAN DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA

PARLIMEN MALAYSIA

 

 

Kementerian Luar Negeri akan meneliti secara terperinci Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa Bil.1 Tahun 2020 yang telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam, Isnin, 2 November 2020.

 

Selaras dengan dasar Kerajaan yang komited menyokong Palestin, Kementerian Luar Negeri akan membuat pertimbangan serius terhadap syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut. Kementerian ini juga akan menyelaras tindakan susulan yang perlu dengan melibatkan kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan memandangkan syor-syor tersebut turut meliputi perkara-perkara di bawah bidangkuasa mereka.

 

Pendirian Malaysia amat jelas, iaitu terus konsisten menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat melalui Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution) berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibukota negara tersebut, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam konteks ini,Kementerian Luar Negeri akan terus mengetengahkan pendirian Kerajaan Malaysia dan menyokong usaha jujur, konkrit dan realistik demi membantu Palestin serta mengukuhkan hubungan dua-hala Malaysia dan Palestin.

 

Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa kerana telah menjemput wakil-wakil Kementerian ini untuk memberi taklimat semasa Mesyuarat Jawatankuasa pada 7 Februari 2020 mengenai hubungan dan kerjasama di antara Malaysia dan Palestin, serta inisiatifinisiatif Malaysia bagi membantu rakyat Palestin dan mendokong perjuangan mereka.

 

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

 

PUTRAJAYA

3 NOVEMBER 2020