Back

KEMENTERIAN LUAR NEGERI ATASI KELEWATAN PENGELUARAN SIJIL KELAKUAN BAIK (SKB)

 

KEMENTERIAN LUAR NEGERI ATASI

KELEWATAN PENGELUARAN SIJIL KELAKUAN BAIK (SKB)

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa sistem e-Konsular yang menerima dan memproses permohonan Sijil Kelakuan Baik (SKB) telah kembali pulih seperti biasa dan pemohon akan dapat menerima sijil tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.

 

Satu laporan akhbar tempatan telah menyebutkan bahawa masalah teknikal pada server sistem e-Konsular Kementerian Luar Negeri menyebabkan kelewatan pengeluaran SKB. Kelewatan ini sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal pada perkakasan sistem data Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Tindakan segera telah diambil dan langkah penyelesaian telah pun dipersetujui oleh Kementerian Luar Negeri dan PDRM dalam menangani kelewatan ini. Langkah yang diambil ini adalah amat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang diperlukan oleh orang awam tidak terjejas.

 

Oleh yang demikian, proses permohonan SKB kini kembali berjalan seperti biasa dan tempoh menunggu untuk kelulusan adalah tidak melebihi satu (1) hingga dua (2) bulan, seperti yang dinyatakan di sistem e-Konsular dan laman web Kementerian. Kementerian juga ingin menasihatkan semua pemohon supaya memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di sistem e-Konsular agar SKB yang dipohon dapat dikeluarkan dengan sewajarnya.

 

 

PUTRAJAYA

12 April 2022