Back

KENYATAAN BERSEMPENA HARI KOMANWEL 2021 ISNIN, 8 MAC 2021

KENYATAAN BERSEMPENA HARI KOMANWEL 2021

ISNIN, 8 MAC 2021

 

Hari Komanwel pada tahun ini disambut pada 8 Mac 2021. Malaysia bersama dengan 53 Negara  Anggota  Komanwel  yang  lain  meraikan  jalinan  persamaan  dan  sumbangan Komanwel dalam usaha mewujudkan persekitaran global yang harmoni.

 

Sambutan Hari Komanwel pada tahun ini adalah istimewa kerana Hari Wanita Antarabangsa juga turut disambut pada 8 Mac. Kedua-dua sambutan ini memberi peluang khas kepada kita untuk mengiktiraf sumbangan pemimpin -pemimpin wanita di seluruh Komanwel yang telah menyumbang kepada pembangunan lestari dan pembinaan masyarakat yang berdaya tahan.

 

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah mengubah kehidupan setiap individu dan organisasi. Memandangkan wabak COVID-19 masih lagi menjadi cabaran bagi semua negara Komanwel, Malaysia yakin Komanwel akan dapat menangani wabak ini melalui perkongsian inovatif dan pendekatan baru untuk melindungi kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan yang berisiko tinggi.

 

Tahun ini, Kerajaan Republik Rwanda akan menganjurkan Mesyuarat Ketua -ketua Kerajaan Komanwel ke-26 pada bulan Jun 2021 di Kigali dengan tema, ‘Delivering a Common Future: Connecting, Innovating, Transforming’.

 

Malaysia komited untuk bekerjasama dengan Negara -negara Anggota Komanwel yang lain dalam memperkukuhkan kerjasama dalam beberapa bidang keutamaan seperti mempromosikan urus tadbir yang baik, menangani kesan sosial dan ekonomi pandemik COVID-19, pembangunan lestari, isu-isu alam sekitar, belia, pendidikan dan pemerkasaan wanita.

 

Malaysia mengalu-alukan penganjuran CHOGM 2021 yang akan datang di Kigali, Rwanda dan sentiasa komited untuk menyokong pelbagai inisiatif yang dilaksana kan oleh Komanwel ke arah mencapai keamanan sejagat dan kemakmuran bersama.

 

PUTRAJAYA

8 MAC 2021