Back

KENYATAAN MEDIA YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI KES POSITIF COVID-19 PERTAMA DI WISMA PUTRA KUALA LUMPUR, 30 MEI 2020 (SABTU)

KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI LUAR NEGERI
KES POSITIF COVID-19 PERTAMA DI WISMA PUTRA


KUALA LUMPUR, 30 MEI 2020 (SABTU)

 

 

Saya ingin maklumkan, pada 29 Mei 2020 (Jumaat), Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan satu kes positif COVID-19 melibatkan seorang kakitangan Kementerian ini. Kes ini merupakan kes pertama di Wisma Putra.

 

Individu ini dikesan positif COVID-19 menerusi satu saringan kesihatan yang dijalankan KKM di Wisma Putra. Sebelum menjalani saringan ini, beliau tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom COVID-19 seperti demam, selsema, batuk atau sakit tekak. Beliau kini telah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

 

Wisma Putra telah mengenalpasti sejumlah kakitangan dari beberapa bahagian di Wisma Putra termasuk Pejabat Menteri yang mempunyai kontak rapat (close contact) dengan individu yang positif COVID-19 ini. Kesemua kontak rapat ini telah diarah menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan KKM pada hari ini, 30 Mei 2020. Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini.

 

Dalam pada itu, susulan pengesanan kes pertama ini, kerja-kerja nyahkuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan dilakukan serta-merta.

 

Semua tindakan yang diambil Wisma Putra ini adalah berpandukan Standard Operating Procedures (SOP) Pencegahan Penularan Pandemik COVID-19 seperti yang ditetapkan KKM. Wisma Putra juga telah dan akan terus memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi dan penjagaan kesihatan yang ketat dilaksanakan pada setiap masa.

Sekali lagi saya mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan-pelanggan Kementerian agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM termasuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memakai topeng muka, membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer, memastikan penjarakan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.

 

Wisma Putra komited untuk memastikan premis dan seluruh warganya bebas dari COVID-19. Untuk itu, Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi menangani penularan COVID-19 termasuk di Kementerian ini. InsyaAllah.

 

=tamat=