Back

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

 

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai sembilan ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia di India telah selamat tiba di tanah air pada 23 Oktober 2020.

 

Dua JT daripada kumpulan ini menaiki penerbangan Air India Express (IX1122) dari New Delhi, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.30 petang, manakala baki tujuh JT yang lain menaiki penerbangan Air India Express (IX1624) dari Tiruchirappalli, India dan selamat tiba di KLIA pada jam 6.58 petang.

 

Dengan kepulangan sembilan JT ini, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 170 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India. Sebelum ini, seramai 161 JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan sejak Julai tahun ini.

 

Semua JT yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin (QS),sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Sehingga hari ini, masih terdapat seramai 19 JT rakyat Malaysia yang masih berada di India.Daripada jumlah ini, 10 JT yang berada di New Delhi telah selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah, manakala baki sembilan JT yang lain masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India. Penyelarasan usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

 

Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang JT rakyat Malaysia di India. Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka.

 

Kementerian Luar Negeri, menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India, akan terus memantau isu ini secara rapat dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

 

Kementerian Luar Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 19 ahli JT rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu.

 

 

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

 

24 OKTOBER 2020