Back

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin emaklumkan bahawa seramai enam (6) ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia, India telah selamat tiba di tanah air pada 30 Oktober 2020. Kesemua mereka tiba di tanah air dengan menaiki penerbangan Air India Express (IX1122) dari New Delhi, India dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.02 petang.

 

Sehingga kini, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 176 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India. Sebelum ini, seramai 170 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 September, 9, 14 dan 23 Oktober. Selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia, semua JT yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin (QS) sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Dengan kepulangan 6 JT ini, masih terdapat seramai 13 JT rakyat Malaysia di India yang masih menunggu diberikan  kebenaran untuk pulang ke Malaysia atau masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India. Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India akan meneruskan usaha dan berkerjasama dengan pihak perkuasa tempatan untuk menyelaras

membawa mereka pulang.

 

Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang JT rakyat Malaysia di India. Kerajaan

Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka.

 

Kementerian Luar Negeri, menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India, akan terus memantau isu ini secara rapat dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

 

Kementerian Luar Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang 13 ahli JT rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu.

 

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

 

PUTRAJAYA

30 OKTOBER 2020