Back

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA PADA 6 NOVEMBER 2020

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

PADA 6 NOVEMBER 2020

 

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai empat (4) ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia yang selesai menjalani proses perbicaraan di Buxar, India telah selamat tiba di tanah air pada 6 November 2020. Kesemua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.33 petang dengan menaiki penerbangan Air India Express (IX1122) dari New Delhi, India.

 

Sehingga kini, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 180 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India. Sebelum ini, seramai 176 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 September, 9, 14, 23 dan 30 Oktober 2020. Selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa, kesemua JT yang dibawa pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin (QS) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Dengan kepulangan 4 ahli JT ini, masih terdapat seramai 9 ahli JT rakyat Malaysia di India yang sedang menjalani prosedur perundangan di Bihar, India. Kementerian Luar Negeri,menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha

membawa pulang baki 9 ahli JT tersebut sejurus selepas pembebasan mereka kelak.

 

Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang ahli JT rakyat Malaysia di India. Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka.

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

 

7 NOVEMBER 2020