Back

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA PADA RABU, 13 JANUARI 2021

KEPULANGAN JEMAAH TABLIGH RAKYAT MALAYSIA DARI INDIA

PADA RABU, 13 JANUARI 2021

 

Seramai lapan (8) ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.58 petang Rabu, 13 Januari 2021 dari New Delhi, India. Ini adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi Patna, Bihar yang telah membatalkan pertuduhan menyalahguna pas lawatan sosial ke atas mereka.

 

Dengan kepulangan 8 ahli JT ini, terdapat hanya seorang ahli JT rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan Mahkamah terhadap kes beliau di Kishanganj, India. Kementerian Luar Negeri, menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang ahli JT tersebut selepas pembebasan beliau kelak.

 

Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 188 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India. Sebelum ini, seramai 180 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lepas. Selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa, kesemua JT yang dibawa pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin selama 10 hari di Stesen Kuarantin (QS) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kerjasama dan komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang ahli JT rakyat Malaysia di India. Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka.

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PENGERUSI PASUKAN PETUGAS COVID-19

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

 

13 JANUARI 2021